Malaysia Dateline

Israk Mikraj dan Covid-19: Pastikan kesihatan fizikal, rohani seiring

Pemuda AMANAH Perak juga menyeru selain pencegahan dari aspek kesihatan, aspek kerohanian juga jangan pernah diabaikan.

Pemuda AMANAH Perak merakamkan ucapan selamat memperingati peristiwa Israk dan Mikraj baginda Rasulullah SAW yang merupakan babak sejarah agung mengingatkan kita tentang idealisme dan perjuangan yang wajar ditekuni ibrahnya.

Sesungguhnya, ia bukan sekadar kisah ulang-siar secara tahunan tentang perjalanan ke situ dan ke sini semata-mata.

Peristiwa mulia ini telah mengangkat Rasul yang kita cintai bertemu Allah SWT yang merupakan puncak kebahagiaan sebenar yang hakiki.

Sesungguhnya ia adalah puncak kegembiraan bagi seluruh umat manusia. Tiada yang lain melainkan kegembiraan bertemu pencipta.

Namun yang demikian, setelah Rasul yang dicintai ramai umat manusia ini dipertontonkan dengan kenikmatan syurga, diisrakkan, dimikrajkan, kemudian bertemu Allah Azza Wajalla puncak kepada segala kebahagiaan bagi manusia kerdil seperti kita.

Baginda masih jua kembali ke dunia yang penuh dengan masalah dan penentangan untuk mengangkat perjuangan dan idealisma.

Walhal, peluang untuk lari dari keserabutan ini tersaji di depan mata. Boleh saja baginda meminta daripada Allah. Jika kita peluang tersedia, adakah begitu?

Ternyata, baginda Rasullah SAW adalah insan yang teguh dengan idealisme dan misi perjuangannya.

Inilah sunnah terbesar, jangan sesekali gugurkan idealisme dan meninggalkan perjuangan pada saat terhidangnya kesenangan di depan mata.

Sikap luar biasa ini patut kita tiru dan contohi tambahan berada dalam fasa getir permainan politik yang menyesakkan dada dan ujian Allah yang menimpa kita.

Dikesempatan ini juga, Pemuda AMANAH Perak menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berada di rumah selama Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa.

Arahan ini adalah untuk kebaikan seluruh warga, maka elakkan dari bersikap pentingkan diri yang bakal menjejaskan seluruh warga.

Semoga Allah SWT memelihara kita semua dan marilah memohon kepadaNYA supaya wabak ini tidak berlarutan terlalu lama.

Pemuda AMANAH Perak juga menyeru selain pencegahan dari aspek kesihatan, aspek kerohanian juga jangan pernah diabaikan.

Antara doa yang boleh diamalkan buat seluruh rakyat untuk mengelak dan mencegah diri daripada penyakit serta wabak berjangkit yang terkandung dalam Hadis Riwayat Abu Daud (1554) iaitu:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksud: “Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Amanah. Progresif. Peduli.

*Penulis merupakan Ketua Pemuda AMANAH Perak.