Malaysia Dateline

Istana Negara beri perincian kepada Mahiaddin

1. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam mengutus surat kepada Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin bagi memperjelaskan dan seterusnya “menyanggah” kenyataan serta pendirian Kerajaan berkaitan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang berkuatkuasa sepanjang tempoh Proklamasi Darurat.

2. Warkah Seri Paduka Baginda itu telah mula tersebar di media sosial beberapa ketika lalu.

3. Dalam warkah tersebut, Seri Paduka Baginda memberikan perincian teliti mengenai garis masa peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kekusutan yang melibatkan Istana Negara, Kerajaan Perikatan Nasional dan Dewan Rakyat.

4. Seri Paduka Baginda menjelaskan yang Baginda tidak akan memberi persetujuan bersabit pembatalan Ordinan-ordinan tersebut kerana dipersembahkan kepada Baginda secara tergesa-gesa dan tidak seperti yang Baginda titahkan.

5. Kerajaan mempersembahkan cadangan itu kepada Baginda hanya pada 23 Julai sedangkan Parlimen akan mula bersidang pada 26 Julai dan pembatalan Ordinan-ordinan berkenaan diundurkan (backdated) kepada 21 Julai.

6. Baginda menekankan yang Baginda tidak akan memberi persetujuan jika proses perungkaian Ordinan-ordinan berkenaan tidak dilakukan secara teratur mengikut Perlembagaan.

7. Baginda menitahkan supaya cadangan itu dibentangkan di Parlimen yang sedang bersidang sekarang dan dibahaskan oleh ahli-ahli.

8. Menurut Baginda, sebarang pembatalan ordinan darurat yang dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak dibentangkan di Parlimen akan hanya mencetuskan kesan negatif terhadap Baginda.

9. Baginda kecewa tindak tanduk kerajaan telah membelakangi fungsi dan kuasa Baginda sebagai Ketua Negara seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

10. Mohon baca kenyataan yang dilampirkan untuk kefahaman lebih mendalam.

Wallahuaklam. Terima kasih.