Malaysia Dateline

Istana Negara jadi tumpuan MP BN mengadap Agong

 Istana Negara hari ini terus menjadi tumpuan media apabila Ahli-Ahli Parlimen datang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung situasi semasa politik negara.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilihat sebagai wakil rakyat pertama yang tiba di Istana Negara menerusi Pintu 2 seawal 10.47 pagi.

Selang 10 minit kemudian, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading) pula memasuki Istana Negara menerusi pintu yang sama, sementara rakan sekutunya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) tiba sejam kemudian.

Pada 2.40 petang, bas pertama daripada tiga buah bas yang membawa hampir 50 orang wakil BN dan Pas untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong tiba di pintu masuk Istana Negara.

Bas itu membawa kira-kira 20 orang Ahli Parlimen Pas, antaranya Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) dan Nik Abduh Nik Aziz (Bachok).

Dua lagi bas serta lebih 10 kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Umno tiba pada pukul 3.25 petang dengan antara yang tiba dengan bas itu ialah Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datok), Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan) dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Rembau).

Datuk Seri Hishamuddin Hussein

Terdahulu, mereka berkumpul di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menghadiri mesyuarat khas kira-kira pukul 12 petang tadi sebelum menaiki bas berkenaan ke Istana Negara.

Sebelum ketibaan dua bas itu, pada pukul 3.10 petang, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong) pula dilihat memasuki Istana Negara menerusi Pintu 2.

Pada 3.21 petang pula, tiga Ahli Parlimen dari Sarawak Datuk Seri Nancy Shukri (Batang Sadong), diikuti  Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra Jaya) dan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) dilihat tiba di Istana Negara.

Datuk Seri Shahidan Kassim

Lebih 50 petugas media ‘berkampung’ di perkarangan Pintu 2 Istana Negara hari ini bagi membuat liputan berhubung perkembangan terkini kemelut politik negara selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Terdahulu pada sebelah tengah hari, petugas media dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap kesemua 222 Ahli Parlimen untuk sesi temu bual peribadi bersama Seri Paduka.

Temu bual yang akan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali itu, melibatkan dua kumpulan iaitu 90 Ahli Parlimen untuk sesi hari ini dan 132 lagi bagi sesi esok.

Menurut beliau, temu bual ringkas kira-kira dua hingga tiga minit seorang itu bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat setiap anggota Dewan Rakyat mengenai situasi politik negara.

Para petugas media masih menunggu kehadiran kesemua Ahli Parlimen setakat berita ini ditulis pada 3.50 petang.– BERNAMA

Bung Moktar Radin