Istana tak akan layan dakwaan Anwar hilang sokongan majoriti

Oleh KIM SYAZIE

Sebarang percubaan untuk menukar kerajaan menerusi Istana tidak akan berlaku dan tidak akan dilayan biarpun khabar bertiup panas mendakwa blok pembangkang sedang mengumpul sokongan yang kini berjumlah 126.

Namun begitu, Istana Negara tidak akan melayan sebarang dakwaan oleh mana-mana pihak bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah kehilangan sokongan majoriti, lapor FMT yang memetik sumber,

Sumber itu, yang enggan namanya disiarkan, memberitahu FMT bahawa perubahan kerajaan secara mendadak mungkin tidak berlaku, sambil menambah, “sebarang percubaan untuk menukar kerajaan menerusi Istana tidak akan berlaku”.

“Jika hendak ubah kerajaan, ia mesti dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya atau pembubaran Parlimen,” kata sumber.

Timbul spekulasi kononnya wujud komplot untuk menjatuhkan Anwar selepas dilaporkan bahawa 10 Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin selepas PRU15 merancang untuk memaksa pilihan raya kecil diadakan.

Mereka dikatakan merancang untuk keluar parti, sekali gus menyebabkan kerusi mereka dikosongkan, menurut undang-undang anti-lompat parti.

Pemimpin Bersatu Faiz Na’aman menghangatkan lagi spekulasi dengan berkias-kias menerusi catatannya di Facebook: “126 dah … jika benar, Alhamdulillah.”

Faiz kemudian berkata, beliau tidak dapat mendedahkan apa-apa, tetapi meminta penyokongnya “tunggu dan lihat”.

Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), menyangkal khabar angin itu dengan berkata ia tidak berasas, dan sekutu utamanya, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah, berdiri teguh di belakangnya.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda tidak berhasrat untuk terlibat dalam politik dan menyeru ahli politik menerima keputusan PRU15.

Baca juga: Bekas founder kosmetik bongkar penipuan dibuat oleh sekumpulan founder ‘bangsa K’, habis semua dia londeh