Malaysia Dateline

Istana yang hilang

Raja dengan istana ibarat laut dan pantai. Berpisah tiada. Dalam sejarah raja-raja dari alam Melayu hingga ke benua Eropah, itulah lumrahnya. Dari raja yang zalim seperti Firaun dan Namrud hingga kepada raja yang adil seperti Nabi Sulaiman memiliki istana.

Nabi Sulaiman membina istana yang menakjubkan Puteri Balqis sehingga ketika ia melihat istana baginda, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta Puteri Balqis pun menyingsingkan pakaian hingga menampakkan dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: “Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca”.

Sewaktu berkelana dahulu, salah satu tempat kunjungan yang pernah saya pergi ialah Istana Buckingham, al Hambra, Topkapi, Dolmabahce, Qalʿat Dimašq dan sebagainya. Semua istana ini merangsang untuk hidup bermewah, indah dan menikmati kehidupan dunia. Kebanyakan istana tersebut kini menjadi tempat lawatan orang ramai.

Ketika Melaka mempunyai sultan dan kerajaannya, Melaka juga mempunyai istana yang gah sesuai sebagai sebuah empayar besar di rantau Nusantara. Selepas Hang Jebat menderhaka kepada Sultan Melaka dan membuat onar dalam istana tersebut, Sultan enggan bersemayam di istana tersebut.

Istana tersebut tempat darah Hang Jebat tumpah dalam membela menuntut keadilan ke atas saudaranya Hang Tuah. Meski Hang Jebat tumpas ditangan saudaranya Hang Tuah, darah penderhaka tidak boleh dibasuh meski dengan air tujuh lautan. Ia kekal derhaka zaman berzaman.

Baginda memerintahkan Bendahara membuat istana lain buat baginda bersemanyam. Istana itu digambarkan seperti dalam Sulalatus Salatin sebagai berikut:

“Adapun besar istana itu tujuh belas ruang, pada seruang tiga-tiga depa luasnya; besar tiang tiangnya sepemeluk, tujuh pangkat kemuncaknya. Pada antara itu diberinya berkapa-kapa, pada antara kapa-kapa itu diberinya bumbungan melintang dan bergajah menyusu; sekaliannya bersayap layang-layang, sekaliannya itu diukir dan bersengkuap. Pada antara sengkuap itu diperbuatnya belalang bersagi; sekaliannya dicat dengan air emas.”

“Kemuncaknya kaca merah, apabila kena sinar matahari, bernyala-nyala rupanya seperti manikam. Akan dinding istana itu sekaliannya berkambi, maka ditampali dengan cermin China yang besar, apabila kena panas matahari bernyala-nyala rupanya, kilau-kilauan tiada nyata benar dipandang orang. Adapun rasuk istana itu kulim, sehasta lebarnya, dan sejengkal tiga jari tebalnya. Akan birai istana itu dua hasta lebarnya, dan tebalnya sehasta, diukirnya rembatan pintu istana itu empat puluh banyaknya, semuanya bercat dengan air emas. Terlalu indah perbuat istana itu, sebuah pun istana raja yang di bawah angin ini tiada sepertinya pada zaman itu. Istana itulah yang dinamai orang ‘Mahligai Hawa Nafsu’; atap-atapnya tembaga dan timah disiripkan.”

Penulis Salalatus Salatin secara terus jelas mengkritik Sultan Melaka kerana berbelanja besar dalam pembinaan istana tersebut. Setelah istana tersebut siap, baginda pun bersemanyam di istana baru. Sayangnya tidak berapa lama kemudian, istana tersebut musnah dibakar api. Buku itu ditulis selepas kerajaan Melayu Melaka jatuh di tangan Portugis. Hilanglah istana Melaka.

Bagi mengembali nostalgia keagungan Kesultanan Melayu Melaka, kerajaan negeri Melaka membina sebuah istana yang dikatakan seperti menyamai gambaran istana lama itu. Bangunan tersebut dijadikan Muzium Istana Kesultanan Melaka yang dibuka kepada orang awam melawat. Muzium ini memang sangat unik kerana dibina dengan teknik tradisional seperti pasak dan kalau berada di sini ibarat rakyat biasa menikmati sendiri suasana istana raja dan pemimpin Melayu zaman keagungan MeIaka.

Setelah negara merdeka dan mempunyai Yang di-Pertuan Agong, kerajaan telah menyediakan sebuah istana untuk baginda. Asalnya ia adalah rumah agam jutawan China yang telah dibina pada tahun 1928 yang terletak di Bukit Petaling berhadapan Sungai Kelang. Bangunan tersebut pernah digunakan sebagai Mes Pegawai Tentera Jepun dan pejabat British Royal Air Force.

Kemudian bangunan tersebut diubahsuai untuk dijadikan sebagai istana Sultan Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor sebelum dijadikan Istana Negara tempat bersemayamnya Yang di-Pertuan Agong Pertama. Pada tahun 2011, Istana Negara berpindah ke Kompleks Istana di Jalan Duta yang memakan belanja RM800 juta. Kemudiannya Istana Negara lama kini dijadikan Muzium Diraja.

Manakala kediaman pemimpin negara dikenali sebagai Kediaman Rasmi Perdana Menteri. Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn tinggal di Jalan Perdana. Kini kediaman rasmi bekas-bekas Perdana Menteri Malaysia dijadikan memorial Perdana Menteri. Ia juga terbuka kepada orang awam untuk menyaksikan sendiri rumah bekas pimpinan mereka.

Kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka dikenali Seri Bendahara pernah dijadikan tempat lawatan semasa awal-awal Adly Zahari menjadi Ketua Menteri. Salah satu tujuannya untuk rakyat sendiri menyaksikan dengan mata mereka tentang nikmat menjadi pembesar negeri. Ramailah rakyat datang berkunjung ketika itu.

Kos menyelenggara Seri Bendahara tinggi dan bagi menjimatkan kos penyelenggaraan, beliau memilih tinggal di Rumah Ketua Menteri yang lama di Bukit Peringgit. Apabila kerajaan PH jatuh, Ketua Menteri baru memilih untuk tinggal di Seri Bendahara dan melakukan kos baik pulih yang menelan belanja yang besar dari kantung negeri.

Manakala kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya dikenali sebagai Seri Perdana didiami Ismail Sabri selaku Perdana Menteri. Seri Perdana tersebut dibina dalam zaman pemerintahan Tun Mahathir Mohamad dan telah didiami Mahathir sendiri, Abdullah Ahmad Badwi dan Najib Tun Razak. Tun Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri kali kedua tidak menginap di Seri Perdana. Mahiadin Yasin juga tidak tinggal di situ.

Kediaman rasmi Perdana Menteri atau Ketua Menteri tidak disebut istana. Ia hanyalah persoalan istilah dalam bahasa sahaja. Istana adalah istilah untuk raja-raja dan kediaman rasmi untuk para pemimpin negara. Kedua-dua jenis kediaman tetap rasmi, mewah, gah dan lambang negara.

Bagi rakyat biasanya, kediaman mereka sendiri kadangkala juga dianggap sebagai istana walaupun tidaklah sehebat dan gah dengan istana atau kediaman rasmi pembesar negara. Pak Utih dan Mak Utih istananya di hujung kampong, hanya berlantai tanah dan berbumbung langit. Bagi rakyat marhean, istana mahligai mereka dipenuhi dengan suara kelaparan yang panjang dan tangis sepi. Mereka tidak kisah para pemimpin mereka memiliki istana mahligai yang berjuta-juta nilainya. Mereka tetap kekal setia miskin dan fakir kesedaran soal keadilan dalam hidup.

Istana bagi rakyat marhean tidak hilang kerana tidak pernah wujud dalam hidup mereka. Hanya dalam khalayan yang sekejap ada, sekejap hilang.

*DR MUHAIMIN SULAM adalah penyelidik, penyair dan pengarang buku ‘Menang dan Terbuang – Demokrasi, Deep State dan Darurat’ yang akan berada dalam pasaran pada Oktober 2021. Beliau boleh dihubungi menerusi muhaiminsulam.com.