“Isteri, Akiko Okumura telah pergi meninggalkan saya dan anak selamanya” – Ridzokumura

Oleh WAN SITI AMINAH

Pengguna media sosial tempatan hari ini dikejutkan dengan pemergian isteri usahawan dan pempengaruh, Ridzuan Ridzokumura iaitu Akiko Okumura yang dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat.

Khabar duka tersebut dikongsikan sendiri oleh pemilik nama sebenar Abdul Ridzuan Abdul Mutalib itu menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya sebenar tadi.

Dalam hantaran itu, usahawan berusia 50 tahun terbabit memberitahu bahawa isterinya telah pergi meninggalkan dirinya bersama anak lelaki tunggal mereka yang dikenali sebagai Sky buat selama-lamanya.

“Al-Fatihah buat arwah isteri saya, Akiko Okumura yang telah pergi meninggalkan saya dan anak buat selamanya. Al-Fatihah,” tulis usahawan berkenaan dengan ringkas di dalam hantaran tersebut.

Punca pemergian Akiko bagaimanapun masih lagi belum diketahui sehingga kini memandangkan Ridzuan tidak mendedahkannya dalam hantaran di akaun media sosial miliknya itu.

Rata-rata pengguna media sosial terutamanya pengikut Ridzuan mulanya merasa tidak percaya apabila menerima pengkhabaran itu kerana baru melihat Aiko melakukan siaran langsung di akaun suaminya, malam semalam.

Khabar itu akhirnya disahkan oleh anak saudara kepada Ridzuan yang juga pelakon popular iaitu Zarina Zainuddin dengan mengucapkan takziah di atas pemergian isteri usahawan berkenaan.

“Isteri pak cik Ridzuan telah meninggal dunia. Semoga Allah tempatkan arwah di dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” pinta Zarina dalam satu hantaran di platform sama.

Sekadar info, Ridzuan Ridzokumura dan Akiko Okumura yang merupakan warganegara Jepun mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009 iaitu tiga hari selepas ulang tahun kelahiran usahawan itu.

Hasil perkongsian hidup bersama, pasangan itu kemudian dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sky Taizo Okumura yang baharu sahaja menyambut hari jadinya ke-13 pada 21 Februari lalu.

Lebih menyayat hati, Akiko juga lahir di dalam bulan yang sama iaitu pada 19 Februari lalu menjadikan suasana amat memilukan terutama untuk keluarga dan para pengikut pempengaruh berkenaan.

Baca juga: Kes selesai, Aliff Aziz, Ruhainies mengaku bersalah, bayar denda RM3k