Isteri Along Cham lapor polis, dakwa ditipu RM95,180 untuk urusan pembebasan suami

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri kepada pelawak, Along Cham iaitu Afreena Suhaimi mendakwa dirinya ditipu oleh seorang individu dikenali sebagai Ika dengan melibatkan kerugian wang bernilai RM95,180.

Menurut Afreena, wang miliknya termasuklah sumbangan daripada beberapa individu itu telah diserahkan kepada Ika bertujuan untuk membebaskan Along yang ditahan di penjara Sungai Buloh sebelum ini.

Afreena menerusi satu hantaran di Instagram Story turut memaklumkan bahawa satu laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam berhubung penipuan tersebut.

Dalam perkongsian itu, Afreena yang percaya kebenaran akan terungkap suatu hari nanti turut berkongsi tangkap layar memaparkan perbualan dengan seorang individu lain mendakwa turut ditipu oleh Ika.

“Selesai membuat laporan polis. Seleweng RM100,000? Kebenaran akan menang pada akhirnya,” tulis Afreena dalam hantaran tersebut sekaligus menjawab dakwaan suaminya sebelum ini.

Terdahulu, Along mendakwa Afreena menyeleweng duit sumbangan orang ramai bernilai mencecah ratusan ribu ringgit yang sepatutnya digunakan untuk membantunya sepanjang ditahan atas dakwaan memiliki dadah, sejak akhir tahun lalu.

Pemilik nama sebenar Muhammad Nizamudin Ahmad itu memaklumkan bahawa wang sumbangan yang hampir mencecah RM100,000 itu dikumpulkan isterinya daripada rakan-rakan artis termasuklah pelakon terkenal, Aaron Aziz.

Sehubungan dengan itu, Along memberitahu bahawa pengesahan lafaz taklik terhadap isterinya akan difailkan dalam masa terdekat di Mahkamah Rendah Syariah Sepang kerana Afreena telah melanggar perjanjian.

Dalam perkembangan yang sama, pempengaruh terkenal iaitu Siti Suriani Wahiddin atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall turut tampil membuat laporan di Balai Polis Setia Alam, awal pagi tadi.

Pempengaruh yang berusia 27 tahun itu dikatakan turut menjadi mangsa penipuan Ika selepas memberikan sumbangan sebanyak RM33,000 kepada Afreena sebagai tanda keprihatinan terhadap dugaan dialaminya.

“Walaupun tak kenal secara peribadi, niat saya cuma nak bantu Afreena membebaskan suaminya. Tambahan pula, saya faham kesusahan seorang ibu yang perlu membesarkan anak-anak seorang diri.

“Namun, saya tak campur tangan dalam hal rumah tangga mereka. Apa yang pasti, memang ada bukti wang sebanyak RM95,180 masuk ke akaun perniagaan tertentu,” ujarnya.

Siti Jamumall turut berkongsi kronologi kejadian daripada awal menerusi beberapa siri hantaran di akaun TikTok miliknya bermula daripada usaha Afreena meminta bantuannya melalui pesanan secara terus (DM) di akaun sosial media.

@sitijamumall

29 January 2025 jam 4am. lepas settle je report kes di setia alam siti terus ke kajang berjumpa dengan feena.. beliau pun sedang menyelesaikan police report di ipd kajang. we hope kebenaran terbongkar.

♬ original sound – sitijamumall – sitijamumall

Baca juga: “Kita tunggu episod seterusnya” – Along Cham sahkan lafaz cerai taklik hari ini