Isteri Aman Graseka minta bantuan lagi, dakwa anak ditidurkan – “Sharifah Shahirah trauma!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri kepada pelakon veteran, Aman Graseka iaitu Reena Arina mendakwa anaknya kini sedang sakit dan telah ditidurkan di sebuah hospital di Kedah.

Perkara tersebut didedahkan oleh penyampai radio Suria FM iaitu Sharifah Shahirah yang menerima makluman menerusi pesanan mesej dari Reena pada pagi Jumaat.

Shahirah yang mengambil langkah berjaga-jaga itu hanya berkongsi khabar tersebut ketika bersiaran di segmen Suria Petang untuk memohon doa dari pendengar radio.

Hal ini kerana, penyampai radio yang mesra disapa Sheira itu khuatir sekiranya mesej dihantar Reena hanyalah rekaan semata-mata untuk meraih perhatian, lapor mStar.

“Isteri dia mesej saya beritahu anak sedang ditidurkan di hospital. Saya terima mesej itu awal pagi sekitar selepas waktu Subuh. Dia siap mahu tunjuk video sebagai bukti.

“Saya memang tidak bertanya lanjut. Kalau benar anak sakit, kenapa sampai perlu nak tunjuk video. Jika betul perlu bantuan, dia sepatutnya hubungi orang terdekat. Sebelum ini pun dia tidak jujur.

“Sebab itu saya hanya berdiam sahaja kali ini. Cuma kalau betul (anak sakit), saya hanya meminta orang ramai mendoakan urusan mereka dipermudahkan,” katanya memetik laporan mStar.

Sharifah Shahirah turut menegaskan, dirinya hanya boleh menggunakan kelebihan sebagai penyampai radio dengan menghebahkan perkara itu kepada orang ramai.

Bimbang pisang berbuah dua kali, Shahirah yang juga seorang pelakon dan pelawak itu enggan terlalu percaya dan berharap pihak berkenaan melawat Aman Graseka.

“Apa yang saya boleh buat hanya minta pihak berwajib seperti Lembaga Zakat untuk menjenguk mereka. Saya pun dah tiada kudrat untuk membantu (secara kewangan).

“Sebagai penyampai radio saya juga tolong uar-uarkan hal ini. Sekirang dia betul-betul perlukan bantuan, boleh terus hubungi media dan berkongsi cerita.” Harapnya.

Terdahulu, Shahirah pernah memuat naik hantaran mengejutkan di akaun Instagram miliknya memaklumkan bahawa Aman Graseka kini memerlukan bantuan kewangan.

Menerusi hantaran tersebut, Shahirah memohon bantuan daripada rakyat Malaysia supaya pelakon ‘senior‘ terbabit tidak lagi perlu meminta wang daripada rakan selebriti lain.

Aman bagaimanapun tampil membuat penafian kerana menurutnya, keluarganya tidak memerlukan bantuan ekoran pelakon itu memiliki perniagaan ketupat dan rendang.

Baca juga: “Kalau hubungi pun tak guna” – Joe Flizzow akan terus hidupkan nama Too Phat secara solo tanpa Malique