Isteri boleh ambil duit KWSP suami kalau culas bayar nafkah

Oleh KIM SYAZIE

Seorang peguam Syarie berkata, wanita boleh mengambil duit dari caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bekas suami jika nafkah tidak diberi.

Mohd Firdaus Mokhtar berkata, ia adalah antara kaedah yang digunakan oleh mahkamah selepas siasatan dibuat terhadap kemampuan bekas suami.

Namun katanya, penggunaan wang KWSP bekas suami hanya boleh dilakukan atas arahan daripada Mahkamah Syariah.

Mohd Firdaus berkata demikian ketika diminta mengulas isu nafkah kepada bekas isteri serta anak yang gagal dipenuhi oleh bekas suami atau si bapa walaupun ia sudah diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Memetik Harian Metro, wanita yang tidak dinafkahi bekas suami bukan sahaja boleh menuntut KWSP, bahkan boleh mendapatkan bantuan nafkah daripada Biro Sokongan Keluarga (BSK).

“Bekas isteri atau anak boleh membuat aduan kepada BSK. Seterusnya pegawai BSK akan menjalankan tindakan lanjut seperti mengadakan sesi runding cara membabitkan kedua-dua belah pihak untuk mendapatkan penyelesaian.

“Jika tiada penyelesaian dicapai, maka kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah akan difailkan di Mahkamah Syariah,” katanya seperti dilapor.

Menurutnya, BSK memang berusaha untuk membantu golongan wanita terutamanya membabitkan kes bekas suami ‘lari’ dan enggan membayar nafkah.

Pada masa sama, menurut Mohd Firdaus, sikap suami yang culas dalam melaksanakan tanggungjawab selepas bercerai antara punca bekas isteri terpaksa menuntut nafkah idah, mut’ah.

Baca juga: Bila mengucap mesti nak carut, isteri terpaksa dedah perangai arwah suami masa hidup