“Isteri buat perangai setiap kali balik beraya di Borneo, cakap rumah mak aku kotor dan bersepah”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki sudah mulai rimas dengan sikap sang isteri yang sering kali ‘buat hal’ setiap kali mereka pulang beraya ke kampung di salah sebuah negeri di Borneo.

Mendirikan rumah tangga pada 11 tahun lalu, si suami yang dikenali sebagai Mat itu jarang pulang ke kampungnya di Borneo bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Perkara ini dipercayai berpunca daripada penerimaan isterinya berhubung kediaman keluarga mentua yang dikatakan kotor selain dari faktor harga tiket kapal terbang.

Sudah kehabisan cara untuk menyelesaikan masalah dihadapinya setiap kali beraya, berikut perkongsian Mat yang meminta pendapat daripada pengguna media sosial.

“Assalamualaikum semua, nama aku Mat. Aku sudah berkahwin hampir 11 tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata. Aku dan isteri bekerja di Putrajaya. Namun kami bertugas di kementerian yang berbeza. Aku anak kelahiran di salah satu negeri yang terletak Borneo. Manakala isteri pula berasal daripada Selangor.

“Aku tak tahu nak cerita macam mana. Harap kamu semua faham dan minta tolong berikan pendapat serta nasihat untuk aku. Tahun ini, giliran kami beraya di kampung aku. Seperti biasa sebelum Ramadan tiba, isteri akan mula buat perangai apabila dia tahu aku beli tiket kapal untuk balik kampung beraya.

“Isteri cakap tak nak balik beraya di kampung aku. Alasannya tak suka adik-adik aku yang perempuan. Kata isteri, adik aku suka mengarah dia memasak dan buat kerja-kerja kotor di dapur. Tidak cukup dengan itu, dia cakap dapur di kampung aku akan habis bersepah dan kotor kalau adik masuk.

“Isteri aku memang tak boleh tengok kalau rumah kotor atau bersepah. Dia akan naik angin dan marah-marah. Biasa akulah yang dimarahinya. Mak aku sudah lanjut usia. Jadi apabila dia masak, dapur akan dibiarkan bersepah sedikit. Nanti bila mak sudah larat, barulah dia kemas dan lap dapur yang berminyak itu.

“Isteri pula setiap kali balik kampung, dia akan cepat-cepat tolong kemaskan selepas nampak dapur bersepah. Tetapi selepas itu, akulah yang kena marah. Kata pengotor dan sebagainya. Kemudian aku perasan sejak tiga ke empat tahun kebelakangan ini, isteri tak suka makan masakan mak aku. Kotor katanya.

“Setiap kali isteri lapar di kampung, dia akan ajak aku keluar makan dekat kedai. Mak macam perasan perkara ini. Apabila ditanya, aku akan beri alasan kepada mak yang isteri tengah diet dan sebagainya. Disebabkan perkara seperti ini, selalu bergaduhlah kami. Kadang-kadang dia masam muka dengan adik perempuan aku.

“Selalulah perang dingin kalau balik beraya. Orang lain tengah bergembira, dia boleh ‘bad mood’. Tak nak sembang sangat dengan orang atau tetamu yang datang. Isteri lebih suka duduk dalam bilik. Pernah juga dia kata sudah tak mahu balik ke kampung aku. Serabut katanya. Kampung aku sudahlah jauh.

“Memang jarang dapat balik kampung aku. Tiket belon pula hampir mencecah ribuan ringgit. Kampung dia pula dekat sahaja dengan rumah kami. Pandu dalam masa satu jam, sudah sampai. Jadi setiap bulan, mesti balik rumah ibu bapa isteri. Pening dan buntu apabila dia tak suka keluarga aku.

“Setiap kali bawa isteri pulang ke kampung aku, mesti dia marah dan kami bergaduh. Puncanya sebab suasana rumah ibu bapa aku yang katanya kotor di sini sana. Tetapi apabila aku balik rumah mentua, nampak kotor juga sebenarnya. Namun isteri boleh tak bising pula, dia buat tak tahu sahaja.

“Pernah aku terfikir nak buat perangai macam isteri apabila balik ke rumah dia. Nak merungut tak bersih dan kotor. Tetapi aku malaslah nak bergaduh. Tolonglah kamu semua berikan pendapat. Terima kasih.” Kongsi Mat (bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di dalam forum atas talian.

Baca juga: “Bila aku suruh jimat mulalah mentua marah dan hina, bila ‘business’ jatuh yang dipaksa bayar tu suami aku”