Isteri dakwa Edika Yusof sudah banyak kali lafaz talak, anak akui cerai jalan terbaik

Oleh MALAYSIADATELINE

Isteri kepada pelakon, Edika Yusof iaitu Nur Hidayah Yusri mengakui permohonan penceraian dilakukannya kali ini bukan satu perkara mengejutkan sebaliknya pernah hadir ke mahkamah untuk membuat pengesahan lafaz talak.

Wanita berusia 47 tahun itu mendakwa, Edika sebenarnya sudah banyak kali melafazkan talak terhadapnya sebelum ini namun pelakon terbabit bertindak menafikan perkara berkenaan ketika dibawa ke muka pengadilan.

Tindakan inilah yang dikatakan mendorong Nor Hidayah dalam mengambil keputusan untuk meneruskan dengan permohonan penceraian susulan suaminya mengangkat sumpah laknat pada Januari lalu, lapor Berita Harian.

“Memang saya buat permohonan cerai. Tetapi sebenarnya ini bukanlah permohonan kali pertama. Sebelum ini, saya pernah datang ke mahkamah untuk membuat pengesahan lafaz talak yang dilafazkan banyak kali.

“Tetapi Edika menafikan semuanya dan mengangkat sumpah laknat pada Januari lalu. Disember tahun lalu saya buat pengesahan lafaz cerai, namun Edika tak mengaku. Jadi saya teruskan dengan permohonan cerai,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Menurut Nor Hidayah, anak-anak mereka juga memang mengetahui semua perkara yang terjadi namun wanita terbabit enggan memberikan ulasan lanjut mengenainya sebaliknya menyerahkan kepada Edika.

Nor Hidayah juga memaklumkan dirinya tiada masalah untuk meneruskan hubungan baik dengan Edika selepas bercerai malah pernah mengajak suaminya untuk menyelesaikan masalah mereka dengan baik sebelum ini.

“Saya tiada masalah berdamai sebab sebelum ini sudah mohon dan ajak Edika selesaikan cara baik supaya orang tidak tahu. Tetapi, dia mahu panjangkan dan inilah yang berlaku.

“Anak-anak tahu semua yang terjadi. Minta maaf, saya tak boleh cakap lebih-lebih. Terpulang kepada Edika, apa dia nak cakap,” katanya ketika ditemui media di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini menetapkan tarikh pada 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi permohonan cerai yang difailkan oleh Nor Hidayah.

Peguam syarie mewakili Nor Hidayah, Mohd Yazid Hazim dari Tetuan Yazid Azuhan Associates menjelaskan bahawa pihak mahkamah membenarkan Edika untuk melafazkan cerai pada tarikh berkenaan.

Dalam pada itu, anak sulungnya iaitu Fardeen Nasrulhaq yang turut hadir ke mahkamah untuk menemani ibunya juga memberitahu bahawa perceraian adalah jalan terbaik buat ibu dan ayahnya.

“Selagi masih hidup, saya boleh jaga dia (ibu). Tiada apa yang boleh saya cakap, tetapi inilah jalan penyelesaiannya. Ibu dan ayah juga akan kurang tekanan. Saya pun sudah biasa sejak kecil. Jadi untuk saya, tiada beza,” jelas pemuda berusia 21 tahun itu.

Baca juga: Demi miliki kereta hebat sanggup ‘skip’ bagi duit pada orang tua