Isteri kedua tak boleh dipanggil penyondol, Islam benar lelaki kahwin lebih dari satu – UAI

Oleh WAN SITI AMINAH

Pemberian gelaran ‘penyondol’ dari masyarakat terhadap wanita yang berkahwin dengan suami orang adalah satu tindakan kurang tepat dan boleh mengundang gambaran buruk mengenai perkara dihalalkan dalam Islam.

Seperti yang ditegaskan oleh pendakwah bebas terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus dalam satu sesi ceramah, gelaran buruk sedemikian tidak sewajarnya diberikan terhadap wanita berstatus isteri kedua, ketiga mahupun keempat.

Hal ini berikutan penggunaan gelaran penyondol seakan-akan menunjukkan bahawa seseorang itu sepertinya tidak reda dengan perkara yang halal dan ditentukan oleh Allah SWT yakni berpoligami.

Menerusi sesi ceramah yang sempat dirakamkan sebelum dikongsi di sosial media, Ustaz Azhar menjelaskan bahawa lelaki dibenarkan oleh agama untuk berkahwin lebih dari satu asalkan mengikut syarat ditetapkan.

Ini bermakna perbuatan mencemuh atau memberikan gelaran penyondol kepada isteri kedua sepatutnya tidak berlaku ekoran bertentangan dengan hukum yang telah ditetapkan oleh agama.

“lsteri kedua sekarang dipanggil penyondol. Tak boleh panggil penyondol sebab itu adalah gelaran yang buruk. Apabila Allah SWT sudah benarkan berkahwin, tetapi kita beri gelaran yang buruk.

“Maknanya kita seolah-olah tidak suka pada Allah SWT,” katanya dalam sedutan sesi ceramah yang dimuat naik di platform TikTok menerusi perkongsian rakaman berdurasi satu minit dan sembilan saat itu.

Pendakwah yang juga mesra disapa sebagai UAI itu tidak menafikan wujudnya golongan wanita bertindak ‘jahat’ dengan menghasut suaminya untuk menceraikan isteri pertamanya selepas mendirikan rumah tangga.

Kelakuan sedemikian sememangnya salah namun para wanita yang telah menjadi isteri kedua tanpa melakukan sebarang penghasutan dan kezaliman tetaplah bergelar orang baik walaupun berkahwin dengan suami orang.

“Perkara yang buruk adalah kalau isteri kedua berkahwin, kemudian dia menghasut suaminya supaya menceraikan isteri pertama, itu jahat. Tetapi kalau dia jadi isteri kedua yang tidak jahat dan menghasut, jadi orangnya baik,” jelasnya.

Menurut pendakwah yang berasal daripada Terengganu itu, semua perkara telah berlaku adalah ketentuan Allah SWT selain sudah menjadi sebahagian perjalanan hidup penuh dengan cabaran dan ujian.

Oleh yang demikian, setiap Muslim disarankan untuk sentiasa bersabar dan memahami bahawa setiap ujian itu adalah kurniaan Tuhan sebagai peluang keemasan untuk mendekatkan diri kepadaNya.

Baca juga: “Ni hak kawe, kawe hari-hari bagi makan” – Penjala terkejut tuan tanah ‘sound’ lepas memancing