“Isteri marah betul kalau ada gosip artis curang, sekali dia buat benda sama dekat aku”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang suami langsung tidak menyangka isteri tersayang tergamak berlaku curang walaupun wanita itu cukup membenci perbuatan menduakan pasangan sebelum ini.

Menurut lelaki itu, isterinya merupakan seorang wanita yang gemar mengikuti gosip rumah tangga orang lain terutamanya membabitkan artis atau selebriti tempatan.

Wanita itu juga sememangnya cukup sensitif sekiranya terdengar gosip mengenai kes kecurangan pasangan yang sudah berkahwin selain kerap menyebelahi isteri.

“Aku menyesal kahwin. Isteri aku ini kuat layan gosip rumah tangga orang. Dulu aku tak minat. Tetapi kerana dia selalu marah sebab malas dengar ceritanya, aku mula layan sahajalah isteri konon nak tunjuk sokongan bagai.

“Isteri ini kalau punca masalah adalah lelaki, bukan main dia mengutuk. Tetapi kalau kisah isteri curang, dia buat pekak sahaja. Baru-baru ini ada kes artis cerai, dia tak habis-habis menyibuk hal mereka.

“Katanya, lelaki adalah punca segala masalah rumah tangga zaman sekarang. Tak boleh bertenang ke isteri aku ini? Tetapi dalam bising-bising cakap lelaki curang bagai, dia sendiri yang curang belakang aku. Check-in dengan jantan lain,” katanya.

Kejadian mengejutkan ini didedahkan di platform X yang mana sang suami mengakui kecurangan tersebut terbongkar selepas dimaklumkan oleh rakan sekerja isterinya.

Perkongsian itu dibuat oleh suami terbabit menerusi hantaran dimuat naik di platform yang dahulunya dikenali sebagai Twitter tanpa mendedahkan identiti sebenarnya.

“Sudahlah aku yang tanggung hidup isteri. Dia memang bekerja juga, tetapi aku tak pernah berkira sedikit pun duit. Masa kantoi, dia menangis dan merayu nak berubah bagai. Memang aku tak terimalah. Aku bawa balik jumpa mak ayah dia.

“Alasan isteri curang adalah aku tak layan emosi dia. Masalahnya dia emosi sebab konflik rumah tangga orang lain. Aku penat kerja siang malam untuk nafkahkan dia, alih-alih beri alasan bodoh macam ini. Sekarang aku nekad nak bercerai.

“Tak tahan nak hidup dengan manusia macam ini. Sebelum kami kahwin, pelik juga dengan dia punya ‘kepochi’. Tetapi tak seteruk ini. Selepas kahwin tak tahu apa yang jadi sampai sibuk sangat dengan hal rumah tangga orang.” Kesalnya.

Baca juga: “Bila aku niat nak beli kereta, suami tak bagi, rupanya dia harap duit aku sebagai tabung kecemasan…”