Isteri merajuk tak dibelikan gincu, suami naik angin rentap tudung di depan ‘cashier’

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, sebatang gincu boleh membangkitkan kemarahan seorang suami sehingga tergamak merentap tudung milik isterinya di hadapan orang awam.

Kejadian yang berlaku di sebuah rangkaian kedai runcit itu hangat dibincangkan oleh pengguna media sosial selepas tularnya satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Berdasarkan rakaman tersebut, pasangan suami isteri itu dipercayai datang ke kedai runcit berkenaan bagi memulangkan barang yang telah dibayar iaitu sebatang gincu.

Ketika berada di kaunter bayaran, dapat dilihat si isteri menghulurkan gincu tersebut kepada suaminya sebelum ia diserahkan kepada juruwang untuk pemulangan duit.

Bagaimanapun sebaik gincu tersebut berada di tangan juruwang, sang isteri terlihat sedih sebelum beredar meninggalkan suaminya di kaunter mungkin kerana merajuk.

Tidak sempat membuka pintu kedai runcit, pergerakan si isteri segera dihalang oleh suaminya yang nampaknya sudahpun naik berang dengan sikap wanita berkenaan.

Suami berkenaan bukan sahaja dirakam ketika menolak isterinya dengan cukup kuat malah dilihat turut bertindak merentap tudung wanita itu hingga tertanggal daripada kepalanya.

Dua orang pekerja yang menyaksikan pertengkaran itu bagaimanapun kaku di kaunter bayaran dan tidak berani menghalang pergaduhan berlaku di depan mata mereka.

Rakaman insiden yang berlaku di sebuah rangkaian kedai runcit popular di Indonesia iaitu Indomaret itu kemudian dikongsikan di platform TikTok dipercayai oleh pekerjanya.

Hantaran asal yang berkapsyenkan ‘balik kerja menangis mengenangkan video ini. Kejadian berpunca dari seorang kakak meminta untuk dibelikan gincu’ itu bagaimanapun sudah dipadam.

Namun rakaman CCTV berkenaan telah tular di pelbagai platform media sosial termasuk Instagram ekoran dimuat naik semula oleh pengguna aplikasi tersebut.

Baca juga: Suami naik angin di kedai makan hanya kerana isteri ‘order’ nasi goreng chicken chop RM20