Malaysia Dateline

Miranda Kerr dan Isteri MO1

Isteri MO1 tidak perlu lakukan perkara sama dibuat Miranda Kerr

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Hal Ehwal Khas Tun Faisal Ismail Aziz dalam kenyataannya, menjelaskan, mengenai kewajaran tindakan model Miranda Kerr  menyerahkan barangan kemasnya  kepada DoJ berdasarkan konteks saman sivil ini.

Beliau berkata, tidak menjadi kesalahan jika Kerr mahu ‘memulang’kan set barang kemas berlian yang diberikan oleh Jho Low kepadanya sebaliknya beliau mempersoalkan kenapa perlu menyerahkannya kepada DoJ?

“Pertama, belum terbukti barang kemas tersebut dibeli menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB atau hasil dari kegiatan jenayah atau penggubahan wang haram. DoJ perlu membuktikan kes mereka dan memenangi perintah mahkamah terlebih dahulu sebelum mengambil alih sebarang aset yang disenaraikan dalam saman sivil ke atas Kumpulan Hotel Viceroy. Kes belum berjalan lagi dan saman ini baru sahaja difailkan.

“Kedua, apa yang akan dilakukan oleh DoJ dengan barangan kemas tersebut? DoJ belum mendapat hak untuk mengambil alih aset ini. Jika mengikut proses perundangan, lebih wajar Kerr menyimpan dahulu barangan kemas tersebut atau mungkin lebih wajar memulangkannya kepada Jho Low sehingga DoJ mendapat perintah mahkamah dan mendapat hak untuk menyimpan dan mengambil alih barangan kemas ini,” ujarnya.

Tun Faisal Ismail Aziz Beliau mengulas mengenai model kelahiran Australia itu menyerahkan barangan kemas bernilai AS$8.1 juta kepada DoJ seminggu selepas dokumen saman itu mendedahkan ahli perniagaan Malaysia, Jho Low membelinya dengan dana yang diselewengkan dari 1MDB.

Akhbar The Wall Street Journal memetik jurucakap model itu bahawa Kerr memulangkan hadiah itu Jumaat lalu kepada ejen kerajaan dari peti deposit keselamatannya di Los Angeles.

Sebelum Kerr bertindak demikian bintang Hollywood Leonardo DiCaprio juga telah memulangkan aset yang dicari seperti dinamakan dalam saman sivil DoJ.

Justeru tumpuan rakyat negara ini adalah kepada isteri MO1 untuk melakukan perkara sama apabila Penasihat DAP Lim Kit Siang semalam, dipetik berkata, jika Ker dan DiCaprio memulangkan hadiah berjuta dolar AS dari Jho Low kepada DoJ semua kini tertumpu kepada isteri MO1.

Bagaimanapun menurut Tun Faizal lagi, kewajaran mendesak agar isteri MO1 memulangkan set barangan kemas yang didakwa diterimanya juga tidak wajar dikaitkan dengan apa yang dibuat oleh Kerr.

“Pertama, tiada sebarang bukti isteri MO1 menerima atau menyimpan set barangan kemas seperti yang didakwa oleh DoJ. Berbeza dengan Kerr yang memang terbukti menerima pemberian Jho Low dan dinamakan secara jelas dalam saman sivil DoJ.

“Kedua, barangan kemas yang didakwa diterima oleh isteri MO1 hanya sekadar cerita dalam aduan pengadu, tiada bukti ia dibeli menggunakan wang 1MDB yang didakwa dicuri, tiada bukti ia diserahkan kepada isteri MO1 dan tiada bukti kesemua set barangan kemas ini disimpan oleh isteri MO1.

“Ia juga tidak disenaraikan sebagai aset yang hendak diambil alih oleh DoJ. Segala ini membuktikan DoJ sendiri tidak pasti mengenai kebenaran cerita pengadu berkenaan barangan kemas ini dan dakwaan terhadap isteri MO1,” terangnya.

Tun Faisaal berkata,seperti yang dinyatakan oleh DoJ sendiri, aduan melucut hak sivil hanyalah sekadar dakwaan yang menyebut bahawa terdapat wang atau harta yang terlibat atau merupakan hasil dari perlakuan jenayah.

Dakwaan-dakwaan ini ujarnya lagi, belum terbukti benar sehingga mahkamah membuat penghakiman yang memihak kepada Amerika Syarikat.

“Sebenarnya selain kewajaran memulangkan barangan kemas ini kepada DoJ yang bukan ‘pemilik yang berhak’ atau ‘penjaga yang telah diberi hak oleh mahkamah AS’ untuk menyimpan barangan kemas ini, terdapat juga polemik tentang kewajaran menyerahkan barangan kemas ini kepada DoJ berdasarkan konteks saman sivil ini.

“Apabila Kerr menyerahkan barangan kemas ini kepada DoJ, adakah Kerr berpandangan DoJ akan menjualnya dan memulangkan wang hasil jualan tersebut kepada 1MDB dan rakyat Malaysia dalam keadaan 1MDB berulang kali menyatakan wangnya tidak dicuri?

“Lagipun jika bersandarkan dokumen saman sivil yang difailkan oleh DoJ ke atas Kumpulan Hotel Viceroy ini, dana yang didakwa diselewengkan untuk membeli barangan kemas tersebut secara perundangannya tidak dipunyai atau dikawal selia oleh 1MDB, tetapi adalah dana yang dimiliki atau dikawal selia oleh pihak-pihak yang mempunyai perkaitan dan kepentingan dengan syarikat Aabar dan IPIC milik Abu Dhabi,” terangnya.