Isteri perlu pujuk suami ‘mati pucuk’ dapatkan rawatan

Isteri perlu pujuk suami ‘mati pucuk’ dapatkan rawatan

Boleh dikatakan kebanyakan lelaki segan untuk membincangkan masalah mati pucuk.

Namun, harus disedari kegagalan untuk berbincang masalah itu boleh menyumbang kepada masalah kritikal dalam perkahwinan.

Paling ditakuti, jika masalah itu tidak dikendalikan dengan halus dan sensitif, boleh membawa kepada penceraian.

Dalam usaha membangkitkan kesedaran mengenai masalah itu di samping menekankan kepentingan perbincangan terbuka dalam perkahwinan, Pfizer Malaysia telah menganjurkan program bual bicara “The Entertainment Show With Papi Zak, Couple ED-ucation”.

Pelawak tempatan Papi Zak menjadi pengacara program itu yang turut disertai penceramah jemputan iaitu pasangan selebriti Harith Iskandar dan Dr Jezamine Lim serta Timbalan Dekan dan Timbalan Pengarah Pembangunan Sumber Manusia yang juga Perunding Kanan Urologi di UKM, Prof Dr Zulkifli Md Zainuddin.

Dr Zulkifli yang telah bertahun-tahun menyediakan khidmat perundingan kepada pasangan yang menghadapi masalah mati pucuk berkata komunikasi sangat penting dalam menangani isu itu.

“Saya telah berjumpa ramai pasangan yang mengalami masalah sedemikian dan ketidakpuasan hati dalam hubungan kerana tidak dapat meluahkan perasaan mereka terhadap masalah itu,” katanya.

Tamparan kepada keyakinan diri si lelaki yang menghadapi masalah mati pucuk juga menjadi rintangan kepada mereka untuk berjumpa doktor.

Dalam situasi inilah pasangan masing-masing boleh memainkan peranan dalam menggalakkan mereka mendapatkan bantuan perubatan.

“Sokongan dan galakan boleh membantu pasangan anda memberanikan diri untuk mendapatkan nasihat doktor bagi menangani masalah itu,” katanya.

Dr Zulkifli berkata dalam kebanyakan kes, ramai pesakit berjumpa doktor ketika situasi sudah kritikal.

“Kita perlu sedar mati pucuk sebenarnya petanda sesuatu tidak kena dengan kesihatan kita. Ia selalunya muncul sebelum pelbagai masalah kesihatan lain seperti penyakit kardiovaskular,” katanya.

Ia juga petanda pelbagai penyakit kronik lain seperti kolestrol tinggi, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

“Ingatlah mereka yang tersayang. Pergi berjumpa doktor sebelum terlambat. Ia boleh menyebabkan kematian,” nasihat Dr Zulkifli.

Sungguhpun berjaya memberanikan diri ke pejabat doktor, masih ada yang berat mulut untuk meluahkan kepada doktor masalah yang dihadapi kerana takut atau malu.

Akibatnya, ramai memilih cara alternatif dalam menangani masalah itu.

“Mereka lebih suka berbincang dengan rakan-rakan atau mencuba kaedah perubatan alternatif dahulu.

“Daripada pengalaman saya, para isterilah orang yang mampu memujuk mereka untuk mendapatkan rawatan daripada saluran yang betul,” katanya.

Laporan Malaysian Men’s Attitude on ED Quantitative Report 2015 menunjukkan hanya 23 peratus lelaki sanggup berjumpa doktor untuk sesi rundingan bagi mendapatkan maklumat tentang isu-isu seksual.

Kajian yang sama juga menunjukkan 52 peratus lelaki lebih cenderung mendapatkan maklumat daripada laman web kesihatan manakala 42 peratus cenderung mengikuti saranan daripada keluarga atau rakan-rakan.

Mati pucuk selalunya melibatkan lelaki berusia pertengahan 40-an ke atas, namun boleh juga berlaku kepada yang lebih muda kerana cara hidup seperti merokok, pengambilan alkohol, tekanan tempat kerja dan kehidupan sedentari.

Ia boleh muncul akibat faktor fizikal, psikologi atau perubatan, atau kombinasi faktor-faktor sedemikian.

Penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis, pembedahan, kecederaan dan tabiat merokok semuanya dapat mengurangkan aliran darah atau merosakkan saraf zakar.

Sesetengah ubat preskripsi atau tanpa preskripsi juga boleh menyebabkan mati pucuk sebagai kesan sampingan.

Bagi lelaki sihat yang mengalami masalah itu, ia mungkin disebabkan isu bersifat interpersonal, keadaan semasa atau emosi. Tekanan, kebimbangan dan masalah hubungan boleh menyebabkan mati pucuk atau menjadikan masalah sedia ada lebih teruk.

Kajian Pfizer juga menunjukkan 53 peratus lelaki merasakan kehidupan seks sihat menyumbang kepada perkahwinan yang bahagia.

Ini membawa kepada persoalan yang lebih penting: apa yang menyumbang kepada kehidupan seks yang sihat?

Ramai dewasa ini yang sukar mengimbangi keperluan kerjaya dengan hubungan manusia.

Kajian itu menunjukkan 57 peratus lelaki terlalu letih untuk mengadakan hubungan kelamin akibat tuntutan kerja dan keluarga manakala 53 peratus lagi berasa tidak puas kerana pasangan masing-masing sibuk.

Di samping itu, 50 peratus lelaki berasa sukar mencari masa sesuai untuk mengadakan hubungan kelamin.

Turut dinyatakan 40 peratus lelaki Malaysia menyifatkan lelaki sejati itu sebagai lelaki yang berupaya memberikan kepuasan seksual kepada pasangan masing-masing.

Kajian itu turut menunjukkan keyakinan lelaki Malaysia untuk mendapatkan ereksi dan mengekalkannya berkurangan selepas usia 40 tahun.

Jika pandangan tersebut benar, adakah ini bermaksud kelemahan atau kehilangan tenaga batin penyebab berakhirnya perkahwinan bahagia?

KOMUNIKASI

Bagi Harith dan Dr Jezamine, maksud hubungan terbuka itu ialah keupayaan untuk berbincang secara terbuka tentang apa jua masalah dalam kehidupan tanpa perlu berahsia.

Walaupun sibuk dengan urusan harian masing-masing, pasangan itu tetap menjadikan hubungan mereka sebagai keutamaan.

“Satu punca utama masalah komunikasi ialah kita sering gagal menyedari betapa sikitnya kita berkomunikasi. Dalam erti kata lain, kita berasa kita telah memberitahu pasangan kita lebih daripada apa yang kita cakap kepada mereka.

“Lelaki Malaysia termasuk saya, secara kebiasaannya, tidak bersikap begitu terbuka. Namun atas usaha isteri saya, saya kini lebih terbuka untuk berbincang banyak perkara, termasuk isu kesihatan. Saya sendiri dulu agak gusar kerana berkahwin pada usia selepas 40 tahun dan melakukan bermacam ikhtiar (untuk mendapatkan anak) selama setahun,” cerita Harith, yang kini bapa kepada tiga anak.

Dr Jezamine berkata mereka menangani masalah dengan mengelakkan kritikan atau menuding jari. Beliau percaya ini akan meningkatkan keyakinan lelaki untuk menangani masalah yang ada.

“Saya kasihan tengok sesetengah lelaki yang tidak berupaya untuk mengekspresi diri mengenai isu seperti ini tetapi di kedai mamak dapat berbual dengan hebat tentang perkara lain,” katanya.