Isteri rasa tak dihargai, rumah tangga Abang Viva goyah? – “Carilah yang lebih baik”

Oleh WAN SITI AMINAH

Khabar angin mengenai pergolakan rumah tangga sukarelawan misi banjir, Abang Viva kembali menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.

Desas-desus ini dipercayai kembali tercetus apabila isteri Abang Viva iaitu Eva Noza Zakaria memuat naik satu perkongsian yang mencurigakan di akaun TikTok miliknya.

Meluahkan rasa kecewanya terhadap seseorang, Eva Noza merasakan dirinya sudah letih berikutan semua pengorbanannya selama ini tidak dihargai individu berkenaan.

Demi menemani individu terbabit, Eva yang memiliki seorang cahaya mata sebelum bernikah dengan Abang Viva itu juga dikatakan rela mengetepikan anaknya sendiri.

Namun pengorbanan yang dilakukan pelatih kecergasan itu nampaknya hanya sia-sia hingga wanita tersebut memutuskan untuk meluahkan kekecewaannya di TikTok.

“Serius aku kecewa! Jika disenaraikan semua pengorbanan aku, tidak tersenarai. Cukup cakap, aku ada dengan kau sampai aku biarkan anak ambil lesen seorang diri.

“Sampai gagal budak itu! Kali ketiga baru lulus sebab aku dapat teman dia (anak). (Pengorbanan) lain-lain kau tepuk dada lah! Mungkin aku belum cukup baik untuk kau.

“Carilah yang lebih baik. Penat gila,” tulis Eva dalam perkongsian bersama sebuah lagu sedih sebagai latar belakang di akaun TikTok miliknya, @evanozadsiniofficial.

Tular di media sosial, rata-rata pengguna TikTok mula membuat spekulasi bahawa perkongsian itu ditujukan kepada Abang Viva atau nama sebenarnya, Azwan Omar.

Hal ini berikutan Azwan turut memuat naik satu kenyataan dalam masa lebih kurang satu jam kemudian, dipercayai untuk membalas hantaran isterinya di platform sama.

Kenyataan yang dikongsi di laman TikTok Eva dan Abang Viva

Menerusi kenyataan tersebut, Abang Viva mendakwa orang ramai sebenarnya sudah tertipu dengan perilakuan yang ‘seseorang’ tampilkan untuk ditonton di sosial media.

Enggan mengulas lanjut mengenai pengorbanan, selebriti media sosial terkenal itu berkata bahawa hanya orang yang melaluinya sendiri akan tahu perkara sebenar.

“Tak perlu rasanya bercakap tentang pengorbanan sebab ia perlu dilihat dengan menggunakan hati, bukannya kaki. Orang hanya nampak luaran iaitu apa yang dipertontonkan.

Tetapi apa yang berlaku disebaliknya tiada orang tahu. Tak nak cakap apalah. Perit dan luka, hanya yang masuk hutan dan kena duri sahaja yang tau.” Ulas Abang Viva.

Walau bagaimanapun, Abang Viva kemudian memadam kenyataan tersebut selepas ia mula mencuri perhatian orang ramai yang mempersoalkan status perkahwinannya.

Terdahulu, khabar masalah rumah tangga Abang Viva itu mula bertiup kencang pada akhir Jun lalu namun segera dipatahkan Eva selepas menegur portal yang menyiarkan berita tersebut.

Baca juga: “Polis Gerak Khas pun kena scam” – Abby Abadi hilang hampir RM19k ditipu scammer Telegram