Isteri kepada penyanyi lagenda popular tanah air, Datuk Jamal Abdillah iaitu Datin Zai Izzati Khiruddin, 29, selamat melahirkan bayi perempuan yang sihat pada pukul 9.38 pagi tadi.
Bayi perempuan seberat 2.9 kilogram berkenaan adalah cahaya mata kelima bagi pasangan terbabit dan anak ketujuh kepada Raja Pop Malaysia yang kini berusia 66 tahun itu.
Khabar gembira mengenai kelahiran anak perempuannya itu dikongsikan oleh Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidilah Ali kepada pihak media melalui pesanan di aplikasi Whatsapp, lapor Berita Harian.
Pasangan itu dilaporkan akan memberi nama Magdalena Yamani Jamal Ubaidilah kepada bayi berkenaan sempena nama gadis yang dikatakan dipuja oleh Nabi Yusof.
“Alhamdulillah, pembedahan semua sempurna. Anak dan isteri, kedua-duanya okay. Sangat bersyukur kepada Allah kerana memberi kami rezeki ini.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menitipkan ucapan tahniah,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Jamal kelihatan begitu gembira menyambut kelahiran bayinya itu malah tidak ketinggalan merakamkan gambar kenangan bersama jururawat di hospital berdasarkan foto dikongsikan kepada pihak media.
Terdahulu, Jamal dan Zai Izzati mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Azura Yamani, 6; El Isaac Yamani, 5; Iskandar Rayyan Yamani, 3; dan Rahil Laura Salsabila Yamani yang kini berusia 2 tahun.
Jamal juga memiliki dua anak lelaki yang juga merupakan penyanyi iaitu Osama Yamani, 23, dan Ahmad Zaki Yamani, kini berusia 19 tahun hasil daripada perkahwinan terdahulunya.
Pada bulan Jun tahun lalu, Datin Zai Izzati dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) ketika sedang hamil untuk menerima rawatan akibat mengalami alahan teruk selain kerap muntah-muntah.
Zai Izzati juga tidak boleh menjamah makanan selama lapan hari sehingga organ dalamannya membengkak sebelum dibenarkan keluar selepas keadaannya membaik susulan menerima rawatan di pusat perubatan tersebut.
Baca juga: Mahu fokus ibadah, Jalaluddin Hassan nak rehat daripada dunia seni