
Akhirnya, isu 64 transaksi tanah milik Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencapai penyelesaian awal.
Laporan awal dibuat oleh Menteri Wilayah Khalid Samad setelah disiasat selama 15 hari oleh satu jawatankuasa khas (Task Force) yang ditubuhkan oleh Kementerian Wilayah.
Mereka mendapati bukan 64 tetapi berlaku 97 transaksi meragukan yang melibatkan tanah seluas 675.27 ekar tanah milik DBKL.
“Jumlah keluasan tanah bagi kesemua 97 transaksi adalah 675.27 ekar (1 ekar=0.4 hektar) iaitu meliputi 1.1 peratus daripada keluasan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Pada 31 Julai 2018, Kementerian Wilayah telah menubuhkan satu Task Force yang terdiri dari pegawai pejabat Menteri, pejabat Kementerian Wilayah dan DBKL untuk mengkaji dan menyiasat isu 64 tanah yang dilaporkan kepada SPRM.
Task force ini telah bersidang selama 15 hari bermula 31 Julai dan berakhir pada 15 Ogos 2018 dengan mengkaji segala dokumen yang ada mengenai kesemua transaksi itu.
Laporan dan cadangan Task Force telah dirujuk kepada Perdana Menteri dan Pengerusi Lembaga Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainudin.
Laporan ini juga telah diserahkan kepada SPRM pada 4 September untuk tindakan lanjut mereka.
Ada empat syor yang dibuat oleh Task Force ini iaitu 43 projek boleh diteruskan, 19 dibatalkan, 15 transaksi ditangguhkan untuk dirunding semula termanya manakala 20 transaksi lagi dibuat siasatan lanjut.
Ini bermakna, 43 projek boleh diteruskan pembangunannya tanpa ragu-ragu lagi walaupun SPRM akan terus membuat penyiasatan.

SPRM SIASAT PENYELEWENGAN
Menurut Khalid dalam sidang media itu, daripada 23 transaksi tanah yang ditangguhkan itu, 13 merupakan projek Rumawip (Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan).
Ketika ditanya wartawan, Khalid mengaku bekas Menteri Wilayah Tengku Adnan Mansor ada dikaitkan dengan kes-kes penjualan tanah ini.
Namun beliau menyerahkan hal itu kepada SPRM untuk membuat siasatan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa mereka.
Sehari sebelum sidang media ini, SPRM yang diketuai Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Shukri telah menemui Pengerusi Lembaga Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainudin selepas dipanggil oleh beliau.
Ia ada kaitan dengan laporan Task Force yang telah diserahkan oleh Khalid kepada Daim sebelum itu.
Selain Daim, Khalid juga menyerahkan salinan laporan Task Force ini kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan SPRM.
Isu 64 transaksi tanah milik DBKL ini menjadi isu utama kempen pilihan raya umum ke 14 di Kuala Lumpur manakala beberapa ahli parlimen telah membuat laporan polis dan SPRM mengenainya.