Malaysia Dateline

Isu abu mayat Chin Ping: MP Beruas perlu faham sejarah

ULASAN:  Armada Nasional   melalui Biro Pendidikan Armada  menempelak kata-kata yang bukan sahaja tidak menjaga sensitiviti masyarakat umum di Malaysia yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham pada sidang Dewan Rakyat semalam. Armada  juga menolak kenyataan berbentuk falasi dari beliau sepertimana yang dilaporkan portal berita ‘Free Malaysia Today (FMT)’ bertarikh 27 Disember 2019 dengan tajuk “Did BN keep to agreement with communists, asks Ngeh”.
.
Berdasarkan berita yang dilaporkan oleh Minderjeet Kaur wartawan dari FMT, Ngeh yang ‘seakan jelas menyokong’ tindakan membawa balik abu mayat Chin Peng dikatakan mempersoalkan tindakan kerajaan selama ini dengan menuduh bahawa kerajaan memungkiri janji Perjanjian Damai Haadyai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 antara pihak kerajaan pimpinan Dr. Mahathir Mohamad ketika itu dengan Parti Komunis Malaya (PKM).
.
Memetik sepertimana yang dilaporkan media, Ngeh melontarkan persoalan “If we do not follow this agreement, people will not trust us and will question our integrity. Did the Barisan Nasional government go against this agreement?” dengan menyatakan beberapa artikel dalam perjanjian damai tersebut.
.
Armada  ingin menegaskan di sini, biarpun Ngeh menyebut dengan benar inti perjanjian damai tersebut, khususnya artikel berikut;

Artikel 3; perjanjian menetapkan bahawa Kerajaan Malaysia akan membenarkan bekas anggota Parti Komunis Malaya yang dilucutkan senjata untuk menetap di Malaysia sekiranya mereka mahu.
Artikel 3.1; menetapkan bekas anggota Parti Komunis Malaya yang memang berasal dari Malaysia akan dibenarkan menetap di Malaysia mengikut undang-undang Malaysia.
Artikel 4; perjanjian menetapkan bahawa kerajaan Malaysia akan membantu bekas bekas anggota Parti Komunis Malaya untuk memulakan hidup baru di Malaysia.
.
Namun Ngeh perlu sedar segenap hujah beliau menjadi satu dakwaan falasi apabila mendakwa kerajaan selama ini (sehingga kini hakikatnya kerajaan -Pakatan Harapan- menolak kemasukan abu mayat Chin Peng) tidak menghormati perjanjian tersebut sedang segenap yang dijanjikan telah mengikut lunasnya.
.
Ini kerana berdasarkan perjanjian yang termeterai dan ditandatangani pada 2 Disember 1989 tersebut, telah ditetapkan bahawa proses kepulangan bekas-bekas anggota Komunis (Bintang Tiga) ke Malaysia adalah berdasarkan tawaran ‘one-off’ di bawah perjanjian untuk menghentikan peperangan di antara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaysia (PKM).

Ditekankan di sini, bawah perjanjian tersebut, mana-mana ahli PKM yang ingin kembali ke Malaysia perlu mematuhi beberapa syarat seperti :

• Memaklumkan hasrat untuk kembali ke Malaysia kepada pihak berkuasa di dalam tempoh tidak lebih setahun dari tarikh perjanjian ditandatangani;
• Mengemukakan butir-butir berkaitan dengan pemohon
• Menjalani proses temu duga serta dokumentasi
.
Dari 431 ahli PKM yang telah memohon pulang ke Malaysia, hanya 338 orang diluluskan dan 93 orang lagi ditolak kerana tidak memenuhi syarat perjanjian. Dalam pada itu kerajaan tidak memaksa mana-mana anggota komunis untuk pulang ke negara ini. Mereka diberi kebebasan memilih sama ada untuk pulang atau terus tinggal di Selatan Thailand. (Jumlah sebenar yang pulang tidak diketahui biarpun mendapat kelulusan; Akta Rahsia Rasmi 1972 – ini juga bagi tujuan mengelakkan perkara tidak diingini demi keselamatan semua pihak, ini yang dinamakan sensitiviti!)
.
Dengan pilihan ‘ONE-OFF’ tersebut, jelas tidak semua bekas anggota komunis menerima tawaran untuk pulang ke Malaysia setelah peluang dibuka! Malah ramai yang memilih untuk terus tinggal di Selatan Thailand antaranya Chin Peng! Maka dia ‘tidak layak’ atau hilang status dalam konsep perjanjian damai apatah lagi telah mati di Selatan Thailand kenapa perlu dipertahankan hal yang tidak benar dengan manipulasi fakta atau berhujah falasi serta jelas menyenda-temehkan sensitiviti masyarakat di Malaysia!?
.
Mengapa Ngeh selaku ahli parlimen mempersoalkan dan menuduh kerajaan selama ini sebagai tidak menghormati perjanjian? Kesetiaan Ngeh selama ini adakah kepada undang-undang negara ini? Di mana peranan RUKUN NEGARA dalam jiwa seorang ahli parlimen seperti Ngeh? Mana sensitiviti Ngeh jika mengaku seorang pemimpin dalam negara ini!?
.
Nyata Ngeh perlu masuk kembali ke kelas sejarah setidaknya menelaah buku-buku sejarah, atau ARMADA di segenap peringkat boleh mewujudkan kelas khas ‘Kenegaraan’ kepadanya. Memalukan seorang ahli parlimen dengan lagak bodoh sombong seperti beliau!

Dengan ini Armada turut menggesa Ngeh untuk menyatakan pendirian beliau dengan jelas, samada beliau bersetuju dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membelakangkan peranan negara dan sensitiviti masyarakat dengan membawa masuk abu mayat Chin Peng atau khalayak Malaysia maklum di sini (sepertimana dilaporkan media), bahawa Ngeh Koo Ham seorang ahli parlimen yang berstatus pengkhianat kepada negara!
.

*Penulis adalah Exco Pendidikan Armada Nasional  dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia