Malaysia Dateline

Isu air Kelantan: Mesin basuh rosak, kos melambung bahana ‘teh tarik’

Seorang penduduk di Kampung Batu 2 1/2, Kota Bharu, Kelantan meluahkan rasa kesal dengan kualiti air yang diterimanya sejak tiga tahun lalu.

Pengguna Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Asrul Mamat mendakwa pihak AKSB tidak memberikan maklum balas terhadap aduan yang diajukannya pada 2018.

Berkongsikan beberapa gambar dan video termasuk air seperti teh tarik keluar dari paip di rumahnya, beliau memberitahu lokasi kediamannya tidak sampai dua kilometer dari ibu pejabat AKSB di Kota Bharu.

Akibat air yang berkeladak itu, Asrul berkata, beliau menanggung kos yang tinggi termasuk menggantikan penapis air bahkan mesin basuhnya juga rosak.

Demo (Anda) tengoklah air paip rumah saya macam mana. Air gapo demo rasa. Untuk minum, mandi. Ini tahun lepas. Ambo letak dah enjin dan filter besar.

“Tapi lepas lapan bulan, air tetap sama. AKSB, tolonglah. Bil rumah ambo jadi tinggi. Sebab asyik main flushing air, filter air, washback filter. Sapo nak tanggung semua tu?

“Mesin basuh sebiji out. Mozek dalam bilik air habis jadi kuning. Kos penapis, semua tu. Ambil caknalah. Tarif air terap sama tapi kualiti tak sama,” jelasnya dalam hantaran di Facebook.

Putrajaya sedang meneliti permohonan Kelantan untuk peruntukan RM1.7 bilion tangani masalah air.

Dalam tempoh 16 jam dimuat naik, hantaran luahan hati Asrul itu tular dan mendapat 2,400 reaksi selain 1,600 perkongsian dengan lebih 700 komen daripada warganet.

Untuk rekod, masalah bekalan air bersih di Kelantan di bawah kendalian AKSB sudah sekian lama membelenggu rakyat di negeri diperintah Pas sejak lebih 30 tahun itu.

Bagaimanapun, kerajaan negeri dilihat gagal menyelesaikan masalah itu. Tahun lalu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, isu air tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata.

Katanya, penyelesaian kepada masalah air di negeri itu bergantung kepada satu-satu kawasan yang mana ia memakan masa tidak kurang dari lima tahun bagi keseluruhan negeri.

Mengulas lanjut Asrul turut menambah beliau terpaksa membilas pakaian yang berwarna cerah di kedai dobi sekali gus membabitkan banyak perbelanjaan.

Sapo nak tanggung tu? Sapo? Kos wash back air. Kos elektrik. Kos penapis. RM5 ya setiap tukar. Tukar seminggu sekali. Tak tukar filter, air jadi slow sebab tersumbat. Jammed.

“Ni nama ambo Asrul Mamat. No telefon: 014-522 2854. Mano mano kenal. Raso nak backup ko, nak bahas ko, direct ambo,” tambahnya.

Februari lalu, kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dilapor sedang meneliti permohonan kerajaan Kelantan mendapatkan peruntukan RM1.7 bilion bagi mengatasi masalah air terawat di negeri itu.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Timbalan Presiden Pas itu berkata KASA akan memastikan masalah air di Kelantan menjadi antara keutamaan untuk diselesaikan.

Dia berkata, pihaknya ketika itu akan meneliti perancangan strategik kerajaan negeri khususnya menerusi AKSB yang melibatkan permohonan RM1.7 bilion untuk menyelesaikan masalah air.