Isu air Kelantan: Perlukah tukar kerajaan negeri?

Isu air Kelantan: Perlukah tukar kerajaan negeri?

Ia ibarat menceraikan isteri yang solehah hanya kerana kopi bancuhannya tidak sedap. Bukan kerana tidak pernah dihidangkan air minuman, bukan kerana kopi itu pahit, ia hanya kurang enak. Yang lainnya bagus belaka. Menguruskan rumahtangga, amanah dan harta suami dikawal rapi, pendidikan anak anak terbaik, bahkan sang isteri adalah seorang hamba Allah yang sejati. Taat kepada suruhan agama, ikut segala sunnah nabi, patuh kepada suami, pendek kata ia solehah. Namun mahu diceraikan hanya kerana perkara yang kecil.

Itu perumpamaan paling tepat yang boleh kita katakan kepada mereka yang mahu menukar kerajaan negeri hanya kerana isu air yang masih bermasalah di negeri ini. Bukan kerana tiada air langsung, bukan kerana tidak efisien, cuma ada masalah. Itupun bukan sepanjang tahun masalah ini timbul, ia jarang jarang sahaja. Dan ia telah, sedang dan akan diperbaiki dari masa ke semasa. Setakat yang kami kenal pasti masalah berkaitan air di Kelantan terdapat 3 juzuk yang besar. Ia berkaitan air yang keruh, bekalan air yang terputus dan rasa air yang payau.

Ini masalah yang biasa dihadapi disemua negeri dalam Malaysia. Apabila kita menyebut bahawa Perak, Johor, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan lain lainya, juga mengalami masalah seperti negeri ini, itu tidak membawa makna bahawa Kelantan berada dalam sindrom penafian pada setiap masa. Ia cuma satu tuntutan kepada kita agar berlaku adil kepada situasi yang sedang Kelantan alami pada hari ini. Kisah Pak Pandir yang menyebut “bukan anak kita sahaja yang mati, anak orang lain pun mati juga”, tidak kami maksudkan apabila membandingkan masalah Kelantan dengan negeri negeri lain.

Ada netizen yang pro kepada Umno marah apabila kami membawa contoh-contoh masalah air dari negeri lain yang diperintah oleh Barisan Nasional. Sedangkan ia adalah satu realiti dan ajakan supaya semua orang berpijak nyata di bumi apabila bercakap mengenai isu air. Jika Kelantan yang dinafikan geran oleh Kerajaan Pusat dan dimanipulasi pula tempoh masa dan jumlah peruntukannya, mampu untuk menguruskan bekalan air dengan segala kepayahan, maka kenapa pula negeri lain yang diperintah BN dengan segala kelengkapan dan kekuatan kewangan, tetapi masih wujud masalah yang sama seperti di Kelantan? Apakah alasan anda?

Banyak juga individu yang menyalahkan kerajaan negeri secara perse apabila bercakap mengenai isu air ini. Antara hujah yang popular adalah;

i- “Kenapa nak harapkan kerajaan Pusat?”

ii- “25 tahun memerintah Kelantan, takkan belum selesai?”

iii- “Kalau Kerajaan Pusat tak bantu pun, kenapa Kerajaan Negeri tak mahu selesaikan sendiri? Tidur sahaja”

iv- “Rakyat tak kisah siapa pun perintah, janji air jernih”

v- “Kau nak sangat perintah Kelantan, pandai pandailah uruskan air”

vi- “dah tak mampu uruskan air, serah je balik Kelantan pada UMNO”

Hujah di atas adalah ringkasan kepada rasa tidak puas hati beberapa kerat rakyat Kelantan tentang isu air ini. Ya, benar. Masalah ini memang wujud. Namun, mencadangkan untuk menukar kerajaan adalah satu perkara yang simplistik dan sekadar berada di awanan harapan palsu sahaja. Jika benar UMNO hebat dalam menguruskan air, maka sudah pasti hasil carian di Google hanya akan memaparkan masalah air di Kelantan sahaja apabila dibuat carian dengan kata kunci “masalah air di Malaysia”. Sedangkan paparan hasil carian menunjukkan secara asasnya semua negeri lain turut mengalami situasi yang sama atau lebih buruk dari Kelantan.

Pengurusan bekalan air juga bukanlah satu satunya tanggungjawab kerajaan negeri sedangkan ribuan amanah dan tugasan lain sedang sedia menanti saban tahun. Soal kebajikan rakyat, pendidikan, pembangunan sosial, kemajuan dan pemodenan, pelaburan dan segenap bidang pentadbiran perlu diuruskan dengan berhemat. Dengan belanjawan tahunan kerajaan negeri dalam lingkungan 400 hingga 600 juta sahaja setahun, dengan banyaknya tanggungjawab kerajaan negeri, maka soal meningkatkan keupayaan bekalan air yang bernilai billion ringgit itu, menjadi satu tugasan berat untuk kerajaan negeri cuba menyelesaikannya.

Dan adakah negeri lain selain Kelantan mencari sendiri duit untuk menguruskan sistem bekalan air di negeri masing masing? Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) contohnya menerima peruntukan RM315.87 juta daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melaksanakan operasi kedua projek pembekalan air di Melaka untuk tempoh tiga tahun sehingga 31 Oktober tahun 2015. Di Sabah, Ketua Menteri, Musa Aman yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, pada 2015 sebanyak RM99,250,000 diberi oleh Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Projek Bekalan Air Luar Bandar.

Contoh lain adalah di Johor apabila Menteri Besarnya yang pernah menyebut harapan beliau mengenai Bajet 2016 iaitu “perkara pokok: air, harap-harap Kerajaan Persekutuan timbangkan dengan sewajarnya permintaan kita untuk mula mengadakan pelan jangka sama panjang untuk mengekalkan bekalan air”. Yang mana ini jelas menunjukkan bahawa Johor amat mengharapkan bantuan Pusat untuk meningkatkan keupayaan bekalan air negeri mereka.

Di Sarawak pula, peruntukan awal sebanyak RM3.54 billion untuk projek
bekalan air bersih di negeri ini. Kos ini hanya melibatkan 218 daripada 795 keseluruhan projek bekalan bersih yang dicadang untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) diluluskan untuk pelaksanaan. Kenapa Sarawak yang diperintah BN juga berharap kepada kerajaan pusat sedangkan UMNO mahu Kelantan cari wang sendiri untuk pembangunan sistem air di negeri ini?

Contoh terakhir yang mahu saya tampilkan, di Pahang baru baru ini apabila Jabatan Perdana Menteri meluluskan peruntukan segera sebanyak RM430,000 bagi mengatasi masalah bekalan air di daerah ini berikutan cuaca panas melampau akibat feno­mena El Nino yang sedang melanda negara. Cepat sungguh bantuan dana untuk negeri lain, akan tetapi jika melibatkan sahaja negeri Kelantan, maka kerajaan pusat akan sengaja melengah-lengahkan atau berlaku bisu dan pekak sahaja.

Hujah yang mengatakan Kelantan diperintah PAS selama 25 tetapi masih bermasalah dengan air adalah satu kepura-puraan yang nyata oleh UMNO dan penyokongnya. Kerana apa? Kerana negeri lain yang saya sebutkan di atas telah diperintah UMNO sejak lebih 50 tahun yang lalu, akan tetapi masih berharap kepada kerajaan pusat untuk membantu mereka dalam menguruskan masalah bekalan air di negeri masing masing. Lalu apakah laku desakan ataupun taburan impian UMNO Kelantan yang menganggap dengan memberi mereka peluang untuk memerintah, maka masalah air ini akan selesai. Bahkan jika benar pun UMNO ada solusi untuk masalah air di Kelantan ini, kenapa kalian tidak menyelesaikannya sewaktu kalian memerintah Kelantan sebelum tahun 1990?

Nazman bin Che Iberahim adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan