Malaysia Dateline

Isu Air: Kerajaan Persekutuan patut bayar pampasan kepada Kedah

Siapa yang harus membayar pampasan kepada Kedah setelah Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini dilaporkan menuntut RM50 juta setahun dari Pulau Pinang kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda dan pampasan RM100 juta setahun dari Kerajaan Persekutuan untuk menghentikan pembalakan di hutan Ulu Muda.

Ketua Eksekutif PBA Holdings Bhd dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang ( PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa dalam kenyataan akhbar beliau berkata, Hutan Ulu Muda merupakan kawasan tadahan air di Kedah yang mengumpulkan 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah.

Malah katanya lagi, ia merupakan kawasan tadahan air Sungai Muda di mana Pulau Pinang mengabstrak lebih 80 peratus air mentahnya setiap hari.

“Pulau Pinang dan PBAPP menyokong sepenuhnya tindakan Kedah untuk mendapatkan pampasan Persekutuan kerana melindungi dan memulihara Ulu Muda secara sah.

“Kerajaan Persekutuan yang memperolehi cukai berjumlah RM16.4 bilion pada tahun 2019 dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang harus membayar dan memberi pampasan kepada Kedah bagi memastikan keselamatan bekalan air di negeri-negeri Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Rasionalnya Kedah memohon pampasan Persekutuan adalah kerana fakta mudah iaitu, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang adalah tiga negeri berjiran dalam Malaysia dan bukannya negara yang berbeza, sebaliknya pada tahun 2019, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menyumbang sebanyak RM147.8 bilion kepada KDNK Malaysia dan RM16.4 bilion hasil cukai kepada kerajaan Persekutuan, ” ujar beliau.

Sehubungan itu kata Jaseni, tiada alasan atau asas undang-undang bagi MB Kedah membezakan Pulau Pinang dengan menuntut pembayaran kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda.