Malaysia Dateline

Isu Al Jazeera: Menteri Komunikasi sepatutnya bertanggungjawab pulih nama negara

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah seharusnya bertanggungjawab memulihkan nama negara dan menjelaskan dakwaan laporan media antarabangsa Al-Jazeera, berhubung tindakan Malaysia semasa mengekang penularan wabak Covid-19.

Namun Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi berkata, Saifuddin bukan hanya gagal menepis dakwaan yang dilemparkan, bahkan ibarat menabur garam di atas luka apabila menggunakan pendekatan keras terhadap agensi berita antarabangsa itu.

Katanya, jawapan Saifuddin ketika sidang Dewan Rakyat semalam amat jelas, bahawa pentadbiran Muhyiddin akan mengenakan Seksyen 22 (1) Akta Finas 1981 terhadap Al-Jazeera kerana laporan yang memalukan Malaysia.

“Gambarannya menakutkan: Pemerintah PN seperti membalas dendam terhadap media dengan menggunakan undang-undang yang diakui kerajaan sendiri bahawa ianya sudah ketinggalan zaman, dan sedang dalam proses pindaan.

“Rakyat tidak percaya kata-kata Menteri di mana mereka mendakwa melindungi kebebasan media, tetapi di sisi lain cuba menggunakan tindakan keras untuk menyekat media.

“Ini jelas merupakan bentuk penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Wong berkata, Saifuddin tidak seharusnya bersembunyi di belakang para petugas barisan hadapan untuk menutup ketidak upayaannya sendiri sebagai Menteri yang bertanggungjawab memulihkan reputasi negara.

Beliau berkata demikian yang merujuk kenyataan Saifuddin semalam bahawa, para petugas barisan hadapan tersinggung dengan laporan yang disiarkan agensi berita itu.

Menurut Wong, adalah lebih tepat untuk mengatakan biarpun kerajaan diberi peluang untuk menjelaskan dakwaan laporan tersebut, mereka gagal melakukannya.

“Sebagai Menteri Komunikasi, Saifuddin seharusnya menggunakan platform yang tepat untuk melibatkan orang ramai dan menjelaskan situasi sebenar yang berlaku ketika itu sehingga timbulnya salah anggap dalam laporan berkenaan.

“Malangnya, beliau sama sekali gagal melakukannya. Berbanding menggunakan kesempatan untuk mengetengahkan cabaran yang dihadapi barisan hadapan, beliau menggunakan pendekatan menakut-nakutkan media,” katanya lagi.