Malaysia Dateline

Isu alam sekitar: Adun Senggarang akan beri cadangan kepada kerajaan negeri

Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim berhasrat untuk menghantar cadangan kepada kerajaan negeri Johor mengenai peri penting melestarikan alam sekitar di negeri ini.

“Saya melihat kerosakkan alam sekitar yang berlaku begitu parah di mana sumber utama manusia seperti air mentah hari ini menjadi kritikal dan perlu diselamatkan.

“Selain itu, penebangan hutan, pencerobohan kawasan ramsar, bakau dan sebagainya adalah salah satu perkara utama yang mana kerajaan negeri perlu mengambil maklum.

“Maka dari itu seminar ini telah membuat beberapa resolusi hasil dari perbincangan dan cadangan agar dikemukakan kepada pihak kerajaan,” ujar beliau.

Beliau ditemui dalam Seminar Kesedaran Alam Sekitar yang turut dihadiri beberapa NGO dan Jabatan Alam Sekitar (Jas) pada Ahad.

Khairuddin yang merupakan Felo Alam Sekitar Johor turut berpendapat bahawa gabungan daripada pencinta alam perlu diwujudkan.

Selain itu beliau menyatakan hasrat untuk NGO dan Jas berganding bahu untuk menubuhkan perbadanan alam sekitar.

“Kita telah mengarapkan tujuh resolusi. Pertama keperluan untuk meningkatkan kebersihan sungai dan perlaksanaan undang-undang yang lebih ketat kepada industri bagi pelepasan influen.

“Meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya penjagaan alam sekitar terutamanya sungai-sungai demi menjamin kualiti air mentah mencapai piawaian yang ditetapkan.

“Selain menubuhkan perbadanan, kita akan perbanyakkan lagi NGO sungai dan lembangan di Johor. Hubungan di antara NGO dan jabatan yang terbabit mengenai alam sekitar perlu diperkasakan.

“Telus dalam perbincangan perancangan serta perlaksanaan. Yang terakhir, NGO dan IPT perlu diberikan geran khas untuk mengadakan aktiviti berbentuk sosial kesedaran masyarakat dan lain-lain,” ujarnya lagi.

Seminar yang berlangsung itu turut membabitkan 40 NGO, Pengarah Jas Negeri Datuk Dr. Mohammad Ezzani Mat Saleh dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Huseein Onn Malaysia (UTHM).