Menantu gemulah Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah perbadanan milik kerajaan Kelantan. Saya lupa apakah perbadanan berkenaan.
Apabila pelantikan atau keberadaan menantu Tokguru di perbadanan berkenaan menjadi isu, dijaja sebagai kronisme dan sebagainya, maka Tokguru tidak berlengah-lengah untuk memecat menantu kesayangannya itu.
Itulah cara Tokguru mengendurkan isu demi tidak menjadikan masalah kepada parti.
Kini diketahui pula anak Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob telah dilantik memegang jawatan dalam Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), yang kini dipersoalkan kredibiliti syarikat itu dalam menyediakan air bersih untuk rakyat Kelantan.
Katanya pihak AKSB telah membuat penjelasan pelantikan anak MB itu bukan atas arahan MB, ertinya tidak ada unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa dan campur tangan. Katanya, anak MB itu juga ada kelulusan dua diploma kejuruteraan.
Baguslah. Kita percaya pelantikan menantu Tokguru dulu pun tidak ada unsur berkenaan membabitkan beliau. Dan menantu Tokguru yang dilantik itu pun juga ada ijazah dan bergelar Ir lagi. Tetapi ia dipecat juga.
Tetapi disebabkan pelantikan anak MB itu telah menjadi isu, dijaja dan diperkatakan sebagai ada amalan kronisme dalam AKSB, maka elok kalau Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob mengambil sikap seperti Tuan Guru Bentara Setia Nik Abdul Aziz yang mengarahkan menantu kesayangannya dipecat serta-merta.
Di sini bukan soal ada unsur rasuah salah guna kuasa atau apa, tetapi demi menjaga maslahat dan keharmonian parti, maka tindakan memecat itu perlu diambil.
Tokguru Nik Aziz lebih bijaksana dan bertanggungjawab untuk kepentingan parti daripada kepentingan peribadinya.