Malaysia Dateline

Isu arak dalam kitab injil: Menteri Agama jawab ‘no komen’, cukuplah dulu

Walaupun sudah lapan hari isu minum arak dalam kitab injil di Dewan Rakyat berlalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri masih enggan mengulas.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu antara lain menjawab ‘no komen’ ketika pemberita bertanyakan tentang kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh bahawa tiada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.

Zulkifli memberi alasan harus bergegas untuk tiga lagi lawatan di Kelantan, sambil memaklumkan akan menjawab isu berkenaan pada lain hari.

“Yang itu, saya ‘no komen’, cukuplah dulu. Saya nak balik ke Kuala Lumpur dan sekarang ini perlu pergi ke tiga lokasi lagi.

“Lain kali saya jawab semua ye,”  katanya di Masjid As-Salam, di Kota Bharu hari ini, lapor Berita Harian.

Zulkifli berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Santuni Komuniti Masyarakat Sejahtera yang dirasmikan Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat pada 26 Ogos lalu, Zawawi yang juga Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat berkata, tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Beruas DAP, Datuk Ngeh Koo Ham mengatakan bahawa kenyataan wakil rakyat Pas itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.