Malaysia Dateline

Isu arak: Reaksi Pas berbeza selepas jadi kerajaan

Sikap Pas yang lantang bersuara berhubung isu minuman keras yang menyaksikan banyak kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) berbeza selepas parti itu pula menduduki kerajaan.

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin berpendapat Pas sebelum ini bernada garang termasuk mengaitkan polisi penjualan arak dengan menjaga hati orang kafir.

“Semasa orang lain jadi kerajaan – ‘Arak haram. Kenapa masih jual? Nak jaga hati orang kafir? Kamu mahu kafir mabuk langgar orang Islam sampai mati? Orang Islam apa kamu ni reda dengan ibu segala maksiat. Nak masuk neraka?’

“Semasa puak sendiri jadi kerajaan – ‘Arak haram. Kita tak boleh larang orang kafir minum arak jika agama mereka benarkan. Jika mabuk, gunakan grab, jangan memandu. Kita kena fikir cara terbaik untuk kawal arak. Islam ada penyelesaian.’

Sehubungan itu, beliau menyifatkan Pas ibarat seperti singa ketika berada di pihak pembangkang tetapi segera hilang sifat kelelakian apabila sudah berada dalam Kabinet.

“Oghang Kedah kata, kena kat oghang jadi singa. Kena kepala senighi dan² jadi pondan…!” bidasnya lagi.

Pada 4 Mei lalu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menyarankan individu yang mabuk agar menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Reaksi Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu dilihat bercanggah dengan sekutunya, Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan pada 30 Mei lalu memberi jaminan dan menghormati hak rakyat bukan Islam untuk meminum arak.

Walaupun, Setiausaha Agung Pas itu menyambung ‘syarat’ selagi mereka tidak melanggar peruntukan undang-undang berkaitan, tetapi dilihat mengundang rasa tidak puas hati banyak pihak termasuk penyokong Kempen Beli Produk Muslim.