Malaysia Dateline

Isu audio tular: Hamzah hairan kenapa Anwar-Zahid marah

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin hairan dengan reaksi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rakaman audio perbualan dua individu yang mirip suara mereka.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, rakaman audio tersebut akan disiasat dengan tumpuan siasatan lazimnya kepada dua aspek.

“Jadi, ada dua perkara di sini. Pertama, perbualan dan adakah ia tulen? Kedua, apa yang ada dalam perbualan itu, betul atau tidak?

“Kalau ceritanya betul, saya dengar juga (audio). Ceritanya, Ahmad Zahid mengaku Anwar sebagai cikgu. Cerita yang betul, kalau itu betul. Salahkah Anwar jadi cikgu kepada Ahmad Zahid?

“Yang dua-dua nak marah ini kenapa? Saya pun hairan,” katanya dilihat merujuk kepada penafian dibuat Anwar dan Ahmad Zahid kelmarin melalui kenyataan yang turut menyifatkan hal tersebut sebagai fitnah.

Rakaman audio perbualan berdurasi empat minit 17 saat yang didakwa mirip suara Zahid dan Anwar tular di media sosial.

Antara lain, suara mirip Anwar memuji ucapan Zahid pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) menerusi panggilan telefon.

Menerusi rakaman sama, Anwar yang juga Ketua Pembangkang dikatakan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat, selama 22 tahun.