Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin menegaskan Malaysia harus kekal memegang prinsip berkecuali berhubung pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai AUKUS.
Beliau berpendapat cadangan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mahu mendapatkan pandangan dan maklum balas China tidak patut berlaku.
“Sebagai pemain kecil, Malaysia harus setia pada prinsip berkecuali. Pada pandangan saya mencari pandangan China mengenai AUKUS, untuk apa jua alasan, adalah, tanpa keraguan, kesalahan atau diplomatik palsu,” katanya.
Terdahulu, kerajaan melahirkan kegusaran terhadap pembentukan pakatan tiga hala itu.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada 18 September lalu menegaskan, AUKUS bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.
Pada masa sama, kata Pejabat Perdana Menteri, AUKUS memprovokasi kuasa lain bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.
Namun, pada 22 September, Hishammuddin di Dewan Rakyat memberitahu akan mengadakan lawatan kerja ke China dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan khususnya dalam aspek pertahanan berhubung kontroversi pembentukan AUKUS.
Ekoran itu, Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH) semalam berpendapat cadangan Hishammuddin itu dilihat agak aneh dan menimbulkan persepsi seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada China.