Malaysia Dateline

Isu Azam Baki: Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tidak terpakai kepada Lalitha

Sekarang masing-masing heboh dengan isu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki. Semua tahu isu tersebut sama ada secara terperinci atau pun sekadar menumpang bicara.

Azam yang terpalit dengan isu pemilikan saham telah dibersihkan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang. Kemudiannya enam anggota LPPR menafikan bersetuju dengan pembersihan Abu Zahar.

Ekoran pembersihan oleh Abu Zahar, Azam Baki mengeluarkan notis tuntutan kepada Lalitha Kunaratnam iaitu individu yang mula mempersoalkan integriti Azam, mendakwa Azam memiliki sejumlah saham dan sebagainya.

Ada yang mempersoal dan mempertikai kenapa Lalitha tidak dilindungi oleh Akta Pemberi Maklumat 2010?

Untuk makluman semua, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whitlseblower Protection Act 2010 – Akta 711) digubal untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat.

Perlu diambil perhatian bahawa Lalitha membuat dakwaan atau pun pendedahan awam di media sosial sama ada akaun Twitter dan/atau media sosial yang lain, justeru Akta 711 TIDAK TERPAKAI kepada Lalitha.

Tujuan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat ini adalah untuk melindungi pemberi maklumat daripada pihak yang mana beliau dedahkan salahlaku. Dengan kata lain supaya identiti pengadu TIDAK DIKETAHUI oleh pihak yang diadukan.

Contohnya, seorang pegawai di kementerian mengetahui bahawa seorang Pengarah di sebuah Jabatan telah melakukan rasuah atau salahguna kuasa, lalu membuat laporan atau aduan kepada SPRM.

Dalam keadaan ini, SPRM akan menggunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat terhadap pengadu iaitu melindungi pengadu daripada diketahui oleh pihak yang diadukan supaya pengadu tidak terdedah kepada sebarang tindakan dari pihak yang diadu.

Lalitha boleh dilindungi oleh Akta 711 ini hanya jika Lalitha membuat aduan berkaitan Azam Baki kepada polis atau mana-mana agensi penguatkuasa lain tanpa menghebahkan kepada awam. Untuk melindungi Lalitha daripada Azam Baki, maka polis menggunakan Akta 711 untuk melindungi Lalitha.

Sekarang, Lalitha sendiri mendedahkan identitinya dalam membuat pendedahan, jadi Akta 711 tidak terpakai. Jadi, apabila Azam hendak membuat tuntutan sivil terhadap Lalitha, Lalitha perlu bersedia untuk hadap.

Ramai peguam yang menawarkan khidmat secara pro-bono. Tidak perlu pertikai Akta 711 kerana tindakan Lalitha mendedahkan secara awam telah menafikan haknya di bawah Akta 711.

Saya melihat beberapa pihak termasuk peguam, parti politik malah Ahli Parlimen (malangnya dari parti saya) yang mengutuk dan mempertikai kenapa Lalitha tidak dilindungi Akta 711.

Sebagai Ahli Parlimen yang menggubal undang-undang, sepatutnya lebih faham undang-undang yang mereka gubal itu untuk apa.

Sebagai peguam, kaji undang-undang, fahamkan dan nasihatkan orang awam tentang undang-undang.

Kita perlu bertanggungjawab. Jangan main sedap nak sebut hingga mengelirukan masyarakat. Jangan sampai orang kata jadi Ahli Parlimen pun tak tahu undang-undang yang dia sendiri gubal.

Malulah. Takkan bahana MoU sampai macam ini sekali?