Malaysia Dateline

Isu Azam Baki: Anwar gesa KPN hentikan gangguan

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan pihak polis menyiasat pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang terlibat dalam perhimpunan dan penyerahan memorandum bantahan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki baru-baru ini.

“Bantahan keras juga saya nyatakan terhadap pihak polis atas tindakan mereka menyiasat Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berhubung siaran media sosial berusia lima tahun yang telah dikongsinya,” kata beliau.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut membantah tindakan polis memanggil Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum kepada pihak SPRM.

“Langkah ini ternyata suatu bentuk intimidasi dan tekanan oleh pihak berkuasa terhadap pimpinan pembangkang dalam menyikapi gejala rasuah di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan menuntut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani untuk tidak meneruskan tindakan sedemikian.

“Saya menggesa Ketua Polis Negara untuk menghentikan gangguan terhadap mereka ini,” tambah Anwar lagi.