Malaysia Dateline

Isu Azam Baki: Lebih 100 MP, aktivis, mahasiswa dipanggil polis

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang telah dipanggil oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pagi ini bagi memberi keterangan berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam kenyataan media semalam

Fahmi dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Datuk Maria Chin dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 9.30 pagi hari ini (28 Januari) susulan penerimaan memorandum melibatkan saham Azam Baki.

Turut dipanggil berkaitan isu sama ialah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang dijangka hadir pada Sabtu (29 Januari) pada jam 12.30 tengahari.

Sementara itu beberapa Ahli Parlimen bersama 30 orang aktivis turut dipanggil untuk dirakam percakapan berhubung Perhimpunan #TangkapAzamBaki yang diadakan 22 Januari lalu.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dipanggil ke IPD Brickfields bagi isu melibatkan perhimpunan tersebut pada jam 3 petang ini.

Selain Teresa, ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, ADUN Ketari, Young Syefura, dan ADUN Kg Tunku, Lim Yi turut dipanggil ke IPD Brickfields pada jam 3 petang nanti.

Sementara itu difahamkan hampir 80 orang mahasiswa turut dipanggil untuk disiasat sejak semalam kerana mengikuti himpunan #TangkapAzamBaki.

Seorang Mahasiswa di Twitter, Mandeep Singh memaklumkan, mereka telah pun memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, namun masih ada yang dikejar sehingga ke rumah.

“Tapi sampai hari ini, Azam Baki masih kebal ya. Mungkin kena turun lagi kot,” ciapnya.

Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki juga pada semalam tampil membidas agar kerajaan tidak terus melakukan siasatan terhadap aktivis anak muda dan mahasiswa yang terlibat dalam himpunan 22 Januari lalu.

Menurutnya, siasatan yang dilakukan itu dianggap sebagai satu bentuk intimidasi kepada rakyat yang berhimpun secara aman kerana sepatutnya yang perlu disiasat adalah Azam Baki dan bukannya rakyat.