Malaysia Dateline

Isu Azam Baki: Pemuda Harapan lapor polis petang ini

Pemuda Harapan akan membuat satu laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini.

Laporan akan dibuat oleh Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Howard Lee Chuan How bersama wakil Pemuda DAP dan Pemuda AMANAH Nasional pada jam 2.30 petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Sementara itu dalam kenyataan media berasingan, Pemuda AMANAH Nasional bersama biro mobilisasi parti itu akan menyerahkan memo kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan keraguan integriti Azam Baki.

Penyerahan memo  dijadualkan berlangsung pada jam 3 petang di Pintu Utama Istana Negara.

Perkara itu dimaklumkan oleh parti tersebut menerusi satu hantaran di Facebook rasminya semalam.

Azam Baki didakwa terlibat dalam pemilikan dua juta unit saham pada tahun 2015 dan 2016.

Beliau telah memberitahu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun dagangan miliknya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham dalam dua syarikat pada 2015.

Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata Azam hadir dalam pertemuan dengan lembaga itu pada 24 November lalu untuk memberikan penjelasan.

Bagaimanapun penjelasan Abu Zahar bahawa saham itu dibeli atas nama Azam oleh adiknya telah menarik perhatian Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kerana ia berpotensi melanggar Akta Perindustrian Sekuriti Depositori Pusat 1991 (Sicda).

SC berkata pihaknya akan bercakap dengan Azam Baki selepas pengakuannya bahawa adiknya telah menggunakan nama akaun dagangannya untuk membeli saham.