Malaysia Dateline

Isu Azam Baki: ‘PM tidak patut berdiam diri dalam isu sepenting ini’, tegur Gobind

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak terus-terusan mendiamkan diri berhubung isu kontroversi membabitkan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau mengingatkan Ismail bahawa SPRM berada di bawah pengawasan jabatan perdana menteri dan beliau mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas SPRM.

Beliau menegaskan, keputusan untuk berdiam diri adalah tindakan yang menggambarkan kelemahan pihak Ismail dalam menangani masalah tersebut.

“Seksyen 2 Akta SPRM 2009 menyatakan dengan jelas bahawa matlamat utama akta tersebut adalah untuk menggalakkan integriti dan akauntabiliti pentadbiran sektor awam dan swasta dengan menubuhkan sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya.

“Seksyen 5 selepas itu memperuntukkan bahawa Ketua Pesuruhjaya akan bertanggungjawab ke atas arahan, kawalan dan pengawasan semua perkara yang berkaitan dengan suruhanjaya itu.

“Adakah Perdana Menteri komited terhadap objektif tersebut? Jika ya, bagaimanakah sikap berdiam diri beliau terhadap dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya yang bertanggungjawab ke atas suruhanjaya itu untuk menangani masalah ini?,” soalnya dalam satu kenyataan terbaru hari ini.

Gobind yang juga seorang peguam berkata, perdana menteri tidak boleh berdiam diri dengan perkara sepenting ini dan harus segera bertindak bagi menunjukkan bahawa integriti dan akauntabiliti adalah aspek penting dalam SPRM.