Isu Azmin keluar dewan: Perbahasan perwakilan adalah di luar kawalan

Isu Azmin keluar dewan: Perbahasan perwakilan adalah di luar kawalan

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perbahasan oleh perwakilan adalah sesuatu yang berada di luar konteks kawalan.

Katanya, pihaknya tidak boleh mengawal intipati perbahasan, sebaliknya hanya boleh menasihati antara satu sama lain.

“Kita hanya boleh menasihat supaya jangan ada kenyataan-kenyataan yang boleh menyinggung atau menyebut mana-mana nama. Sampai tak boleh tegur macam mana?

“Nak mengawal ucapan perwakilan itu susahlah. Perwakilan itu dipilih oleh negeri, bukan dipilih oleh sekretariat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menghadiri Kongres Nasional Keadilan Ke-14 di MITC, Ayer Keroh, Melaka.

Terdahulu, selepas sesi Ucapan Dasar, Anwar sekali gus merasmikan kongres berkenaan yang dihadiri kira-kira 3,000 orang merangkumi perwakilan, pemerhati dan tetamu jemputan.

Ditanya adakah kisah ‘Si Kitol dan Raja Mendeliar’ yang diucapkannya dalam ucapan dasar telah menyebabkan Datuk Seri Azmin keluar dewan, Anwar menyangkal perkara itu.

“Eh, itu sejarah Melayu,” jawabnya secara ringkas.

Kemudian Anwar diasak lagi oleh pengamal media yang bertanya kemungkinan Azmin terasa mengenai perkara itu.

“Kalau dia terasa, itu masalah dia, bukan masalah saya. Itu kenyataan sejarah dalam Sulalatus Salatin,” jelas Anwar lagi.

Petang tadi, dalam satu sidang media tergempar di lokasi berasingan, Azmin berkata ucapan-ucapan yang berlangsung ketika kongres hari ini hanya untuk mengangkat impian satu sosok dan menyerang serta melempar tohmahan kepada pimpinan yang lain.

Timbalan Presiden PKR itu turut menyifatkan, ucapan Anwar yang bermula dengan sorotan klasik tentang kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada para pembahas yang lain untuk terus melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan dan anggota Keadilan.

“Perbahasan oleh wakil-wakil yang dipilih secara berat sebelah juga dilihat tidak membawa suara anggota akar umbi,” katanya.

Justeru, Azmin berkata ahli MPP PKR membuat keputusan bahawa adalah tidak munasabah untuk terus berada di dalam dewan kongres.

“Tidak munasabah untuk kami mendengar kenyataan-kenyataan yang provokatif dan melanggar semangat persaudaraan Keadilan yang sewajarnya ditonjolkan dalam kongres seperti ini,” ujarnya lagi.