Isu Bai’ah: Saya tunggu ke mahkamah syariah, kata Husam

Isu Bai’ah: Saya tunggu ke mahkamah syariah, kata Husam


Usul Pas Tanah Merah untuk mengheret 'pelanggar' bai'ah ke Mahkamah Syariah - wajib diterima oleh Pas Kelantan secepat mungkin, kata Datuk Husam Musa.

Datuk Husam Musa Usul Pas Tanah Merah untuk mengheret ‘pelanggar’ bai’ah ke Mahkamah Syariah – wajib diterima oleh Pas Kelantan secepat mungkin, kata Datuk Husam Musa.

 Bekas naib presiden Pas itu berkata, beliau sendiri mencabar Pas Kelantan berbuat demikian.

“Saya sendiri mencabar Pas Kelantan berbuat demikian, lebih awal dari usul itu, iaitu ketika saya berucap di Ketereh pada 11 Mac.

“Saya berkeyakinan Pas tidak berani berbuat demikian.

“Sekali pun Pas mungkin mengikut usul Pas Tanah Merah, berdasarkan kajian saya, Mahkamah tidak akan memihak kepada Pas.

Talak tidak akan jatuh seperti yang menghantui pemikiran sesetengah pimpinan Pas yang galak mempolitikkan isu ini. InsyaAllah ia hanya akan memalukan Pas sendiri,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Adun Salor ini berkata, jika tindakan itu diteruskan, ada empat individu akan turut terbabit dalam isu bai’ah ini.

“Saya sendiri, Datuk Kamarudin Jaafar, Dr Hatta Ramli dan Datuk Ibrahim Ali.

“Kesemua kami melafazkan bai’ah itu.

“Perbezaannya, Ibrahim Ali bukan ahli Pas pada masa ia diberikan izin bertanding atas lambang Pas tetapi beliau tetap diminta untuk melafazkan bai’ah itu.

“Selepas menang, beliau bertindak menjadi Ahli Parlimen bebas. Di waktu itu, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz masih aktif tetapi langsung tidak membangkitkan apa-apa tentang ta’lik talak atau pun pendapatan dari gaji beliau.

“Kenapa?

“Pendapat saya, sejak awal lagi bai’ah oleh Ibrahim Ali tidak lekat dan boleh dikuatkuasakan kerana Ibrahim tidak pernah diminta menjadi ahli Pas. Bagaimana seseorang yg tidak ahli parti boleh dikira keluar parti pada bila-bila masa?

“Sementara Dr Hatta pula berkahwin di luar Kelantan.

“Tinggal saya dan Datuk KJ.

“Saya menawarkan diri untuk menjadi kes ujian terhadap validity bai’ah Pas itu.

“Biar Mahkamah Syariah meneliti dan memutuskan kes ini berbanding pemimpin tanpa kelayakan untuk memfatwakannya. Sedangkan mana dulu antara ta’lik dan talak pun beliau tersilap,” ujarnya.

Husam yang juga Penasihat Amanah Kelantan ini menegaskan, andaikata Pas gagal membawa kes ini ke Mahkamah, Pas harus meminta maaf kepada beliau.

“Tujuan saya bangkitkan isu bai’ah berkait Ibrahim Ali, untuk membuka mata orang Pas, tidak jatuhnya talak dengan bai’ah Pas itu.

“Jika tidak, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz tentunya telah membangkitkan isu ini secara tertutup atau terbuka.

“Ia tidak berlaku. Malang, pemimpin kecil yang datang kemudian berlagak tahu segala-galanya.

“Isu bai’ah yang dibesarkan, menunjukkan Pas tidak mempunyai idea konstruktif selain isu-isu tidak produktif seperti ini.” tegasnya.

TAGS