Isu baja: Exco perjelas tohmahan, persepsi negatif ekoran serbuan

Isu baja: Exco perjelas tohmahan, persepsi negatif ekoran serbuan

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Negeri Melaka, Norhizam Hassan Baktee kesal dengan tohmahan serta pesepsi negatif segelintir pihak berhubung serbuan ke atas setor haram yang menyimpan baja subsidi pada 29 Ogos lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, serbuan yang dibuat pada 29 Ogos 2018 bermula jam 9.30 malam itu dibuat dengan iringan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke setor haram di Kampung Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai yang menyimpan baja subsidi hak rakyat yang diletakkan di kawasan tanah milik Kerajaan Negeri Melaka.

Jelas beliau, untuk pengetahuan semua, tindakan dan pemantauan beliau bermula apabila penduduk2 kampung Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai meminta penjelasan berhubung status tanah dan juga status sebenar dua kolam dipercayai untuk ternakan Ikan air tawar.

Kerja-kerja mengorek tanah dan membina kolam berkenaan difahamkan bermula sekitar tiga minggu lalu iaitu awal bulan Ogos 2018, katanya.

“Atas tanggungjawab terhadap aduan yang dibuat, pada 27 dan 28 Ogos 2018 sekitar jam 3 petang, saya bersama pegawai-pegawai Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Jasin serta pegawai Pejabat Daerah Jasin bersama beberapa wakil2 penduduk Kampung telah ke lokasi dimaksudkan.

“Sebaik tiba di lokasi dimaksudkan (jauh dari jalan besar, lebih kurang enam kilometer dari jalan utama) terdapat dua kolam yang telah dikorek dan dijaga oleh tiga lelaki Indonesia yang pada ketika itu sedang membina pagar di sekeliling dua kolam berkenaan di tanah yang sepatutnya dibangunkan penanaman padi beras wangi.

“Dari pelan ditunjukkan pegawai PTG jelas, terbukti dan disahkan tanah yang dibina dua kolam berkenaan adalah tanah ‘tol’ milik Kerajaan Negeri Melaka yang dimaktubkan secara sahih mana-mana individu tidak berhak dan dihalang untuk melakukan apa sahaja termasuk menumpang [email protected] tanpa kebenaran PTG.

“PTG juga sehingga tarikh pemantauan saya pada 27 dan 28 Ogos 2018 mengesahkan tiada permohonan dari mana-mana individu untuk melakukan apa-apa binaan atau secara budi bicara menumpang barang di tanah tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, ekoran pembinaan dua kolam haram berkenaan, bersama bersama pegawai PTG dan orang kampung membuat 4 laporan polis di Balai Polis Sungai Rambai kira-kira jam 4.30 petang melaporkan mengenai pembinaan haram tersebut.

“Pada 29 Ogos pula sekitar jam 11 pagi, beberapa penduduk kampung yang kebetulan berada di lokasi pembinaan kolam ternakan Ikan air tawar haram berkenaan bagi mencari ayam hutan dan memikat burung ternampak pula deretan ‘kain putih’ yang disusun secara bertingkat dalam dua setor atau bangsal bersebelahan kolam Ikan haram itu.

“Sebaik menghampiri dan meninjau dua setor terbabit bagi meneliti dengan lebih lanjut ‘kain putih’ berkenaan, individu-individu tersebut ternampak kampit-kampit bersusun yang tertera logo ‘dacing’ Barisan Nasional (BN) yang mana selepas diteliti, ia adalah baja tanaman subsidi.

“Ia sepatutnya dikembalikan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) jika ia lebihan dan wajib disimpan di setor simpanan dan bukannya di [email protected] haram seperti itu.

Tambah Norhizam, sekali lagi penduduk kampung menyalurkan maklumat penemuan baja subsidi ini kepada saya yang mana maklumat ini membawa kepada dua lagi laporan polis dibuat saya pada 30 Ogos 2018 jam 2.30 pagi di Balai polis Sungai Rambai.

Katanya, sebelum laporan polis dibuat awal pagi, beliau telah ke lokasi berkenaan bagi tujuan memastikan benarkah baja subsidi berada dalam [email protected] tersebut seperti yang diperkatakan penduduk kampung.

Bagaimanapun katanya, kehadiran beliau secara baik bersama anggota-anggota polis untuk melihat baja subsidi itu telah ‘disambut’ dengan provokasi yang dimulakan seorang lelaki yang mengaku beliau adalah anak kepada ‘pemilik barang dalam setor atau bangsal berkenaan’.

“Dengan nada yang kasar dan intonasi suara yang tinggi beliau mendakwa tanah itu ‘tanah milik orang kampung’ dan saya tiada hak ke atas tanah dan barang dalam [email protected]

“Kenyataan individu berkenaan ternyata salah dan bercanggah dengan pengesahan PTG yang sebelum ini mengesahkan tanah berkenaan adalah milik mutlak Kerajaan Negeri Melaka.

“Provokasi bermula apabila beliau enggan mematuhi arahan polis yang mengarahkan agar beliau diam dan meninggalkan kawasan berkenaan.

“Akhirnya selepas menunggu selama 7 jam dalam hujan dan dalam pengetahuan YAB Ketua Menteri, Tuan Haji Adly Zahari, setor berkenaan berjaya dibuka oleh pihak polis dengan bantuan orang kampung tepat jam 5.30 awal pagi tadi yang mana sebaik setor atau bangsal itu berjaya dibuka kelihatan terdapat lebih dari 300 kampit baja dipercayai baja subsidi ditempatkan di setor atau bangsal berkenaan,” katanya.

Jelas beliau lagi, sebagai wakil rakyat dan Exco Kerajaan Negeri Melaka yang diamanahkan menjaga kebajikan, amanah serta hak rakyat khususnya petani, tindakan beliau ini difikirkan terbaik dan relevan lantaran rakyat Melaka mahukan perubahan dan tidak selamanya hidup dalam kepura-puraan kerajaan terdahulu.

“Saya berkhidmat dan bekerja untuk rakyat, saya rela dan berkorban apa sahaja demi rakyat kerana bukan pegangan saya untuk melindungi atau menutup kesalahan yang secara terang-terangan disyaki dilakukan pemimpin kerajaan terdahulu.

“Jika dengan cara membuktikan kebenaran ini saya ditohmah sebagai zalim, jahat, berhati busuk dan ‘gila kuasa’ atau besar kepala, saya terima dan redha.

“Saya bukan mahu diangkat sebagai wira atau jasa saya disebut sehingga bertahun-tahun akan datang tetapi saya mahu menjadi seorang yang beramanah dan berintegriti.

“Mana mungkin saya boleh berdiam diri untuk sebuah kemungkaran hasil dari tangan-tangan jahat dinasti terdahulu dan setiap kemungkaran perlu diperbetulkan agar tidak menjadi barah dalam masyarakat,” jelas beliau.