Malaysia Dateline

Pualu Batu Puteh

Isu Batu Puteh: Mahkamah batal saman sivil

Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman seorang individu terhadap kerajaan berhubung keputusan menarik balik semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda berhubung tuntutan ke atas Batu Puteh.

Lapor BH, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili Kerajaan memberitahu, Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan Perdana Menteri (yang tidak dinamakan dalam tuntutan saman) dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman itu.

Menurutnya, hakim membuat keputusannya selepas memutuskan bahawa subjek dalam tuntutan saman berkenaan tidak boleh diadili oleh mahkamah dan Mohd Hatta Sanuri selaku plaintif tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membawa tindakan undang-undang berkenaan terhadap perdana menteri dan Kerajaan.

Hakim Hayatul Akmal memberikan keputusannya melalui prosiding sidang video yang turut dihadiri peguam Mohaji Selamat yang mewakili plaintif.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah supaya kedua-dua defendan memberi penjelasan bertulis mengapa mereka menarik balik semakan keputusan ICJ berhubung tuntutan ke atas Batu Puteh terhadap Singapura pada 1 Jun 2018, sedangkan permohonan semakan dengan bukti kukuh sudah dimulakan dan difailkan sejak 3 Februari 2017.

Mohd Hatta turut memohon perisytiharan bahawa kedua-dua defendan membayar ganti rugi kepada setiap rakyat Malaysia berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan berdasarkan kerugian ekonomi dialami seluruh rakyat Malaysia, termasuk plaintif secara sama rata berjumlah paling kurang RM10 juta.

Turut dimohon perintah supaya kedua-dua defendan mendedahkan secara terperinci jumlah semua kos yang dibelanjakan oleh defendan kedua (kerajaan) untuk persediaan permohonan semakan keputusan ICJ pada 3 Februari 2017 sehingga defendan menarik diri secara tiba-tiba pada 1 Jun 2018.