Malaysia Dateline

Isu beg sekolah berat: KPM jangan pandang enteng, rombak segera sukatan pelajaran

Isu beg berat murid sekolah yang telah dibangkitkan hampir sebulan lalu, masih belum dijawab oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Meskipun banyak pihak termasuk pakar-pakar pendidikan dan kesihatan yang memberikan pandangan dan cadangan agar langkah segera diambil oleh KPM, malangnya KPM masih belum mengambil sebarang tindakan.

Justeru, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan menggesa KPM segera mengatasi isu beg berat murid sekolah ini.

Isu beg sekolah berat: KPM jangan pandang enteng, rombak segera sukatan pelajaran
Beg sekolah berat punca skoliosis

Pakatan Harapan mencadangkan KPM melaksanakan langkah segera untuk mengatasi masalah ini antaranya bersedia untuk merombak sukatan pelajaran yang lebih mesra pendigitalan pendidikan bagi meminimumkan penggunaan buku teks fizikal.

Selain itu katanya, memperbanyakkan buku teks dalam bentuk digital atau e-book untuk semua peringkat serta memudahkan urusan mengakses buku teks digital yang akan digunakan oleh murid-murid termasuk di kawasan luar bandar.

“Memberikan kuasa autonomi kepada sekolah dan PIBG untuk berbincang dan membuat keputusan kaedah pembelajaran yang sesuai mengikut keperluan masing-masing.

“JKPPH berharap cadangan ini boleh dipertimbangkan oleh KPM dan menggesa KPM bertindak segera menjelang pembukaan sekolah sesi 2022/2023,” katanya dalam satu kenyataan.

“JKPPH mengambil berat isu ini kerana ia boleh mendatangkan mudharat kepada murid-murid dalam jangka masa panjang seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar-pakar kesihatan,” katanya.