Isu beli rumah Taman Manggis isu  lama PRU13, kata Guan Eng

Isu beli rumah Taman Manggis isu lama PRU13, kata Guan Eng

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, menjadi mangsa fitnah sekali lagi. Kali ini berhubung rumah yang dibelinya yang didakwa mempunyai unsur rasuah, sedangkan ia hanya tuduhan palsu yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

Menurut Guan Eng, isu yang dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) berhubung tanah di Taman Manggis yang dikaitkan dengan pembelian rumah tersebut adalah isu lama, dan pernah dimainkan oleh BN sebelum pilihanraya umum 2013.

“Ini bukan kali pertama dakwaan palsu tentang rasuah terhadap saya yang mengaitkan tanah Taman Manggis telah dibuat.

“Bekas Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang dan Ketua Umno Bahagian Bagan, Shaik Hussein Mydin, pada 19 Ogos 2015 telah menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara lisan kepada saya sebanyak dua kali di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas saya menyaman beliau kerana memfitnah,” katanya dalam satu kenyataan dipetik dari Roketkini.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan tuduhan palsu Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahya pada Khamis, yang dilaporkan media telah berkata bahawa pembelian rumah Guan Eng mempunyai kaitan dengan tanah Kerajaan Negeri di Taman Manggis yang telah dijual pada 2012 kepada pemaju swasta untuk membina hospital swasta dan hotel.

Malah, katanya, transaksi dibuat secara bebas dan rela hati di antara pembeli dan pemilik individu persendirian melalui sub-jualan tanpa sebarang paksaan atau pengaruh yang tidak wajar.

“Saya membeli rumah tersebut dengan harga RM2.8 juta pada 28 Julai 2015, bukan dari pemaju swasta tetapi dari individu persendirian.

“Saya membeli dengan mengambil pinjaman bank sebanyak RM2.1 juta dan baki RM700,000 dibayar secara tunai, berdasarkan apa yang saya terima sebagai Ketua Menteri dan wakil rakyat,” ujar beliau.

Sehubungan itu, menurutnya, adalah tidak benar untuk mengaitkan pembelian rumahnya pada 2015 dengan tanah Kerajaan Negeri di Taman Manggis yang dijual pada 2012, apabila penjualan tanah Kerajaan Negeri telah dijalankan melalui tender terbuka yang kompetitif.

“Adakah salah untuk menjual tanah kepada pembida yang paling tinggi? Pemaju swasta yang telah memenangi bidaan ini secara tender terbuka yang kompetitif – berjaya kerana mereka memberikan harga yang terbaik dan tertinggi,” jelasnya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menegaskan, penjual rumahnya itu tidak terlibat dengan syarikat yang memenangi bidaan tanah tersebut, dan bukan pemegang saham atau ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan.

“Tambahan pula Jawatankuasa Tender Kerajaan Negeri tidak dipengerusikan oleh saya tetapi dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” kata beliau.

Menurutnya, Kerajaan Negeri tidak mengetahui bahawa tanah Taman Manggis telah diperuntukkan untuk perumahan kos rendah.

“Bagi mengalakkan pelancongan perubatan, Kerajaan Negeri memutuskan untuk menawarkan tanah tersebut untuk pembinaan hospital pakar,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menjemput Shabudin yang juga Pengerusi PERDA itu untuk bersemuka dalam pertemuan empat mata berdasarkan fakta dan angka, pada jam 11 pagi Ahad ini (20 Mac) di hadapan media massa di pejabatnya di Komtar.

“Daripada perjumpaan empat mata ini, rakyat Malaysia boleh menilai sendiri siapakah yang bercakap benar, siapa yang bersih dan siapa yang membuat serangan liar, tidak bertanggungjawab dan serangan peribadi yang tidak berasas,” katanya lagi.

TAGS