Isu berebut kerusi, pemimpin Gerakan letak jawatan

Isu berebut kerusi, pemimpin Gerakan letak jawatan

 

Timbalan Setiausaha Agung Gerakan Pulau Pinang, Dr Thor Teong Gee telah mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti, selepas serangan dari dalam parti itu.

Dalam sidang media di Kelab Pulau Pinang semalam, Thor dipetik berkata, beliau amat kecewa dengan pertelingkahan berkaitan pembahagian kerusi untuk pilihan raya umum akan datang.

“Saya sentiasa percaya perkara-perkara berkaitan dalaman parti tidak seharusnya dibawa kepada pengetahuan umum, kerana ia tidak membantu untuk menyelesaikan apa-apa masalah atau isu yang dihadapi oleh rakyat.

“Tetapi serangan berterusan terhadap saya, menyebabkan saya secara terbuka tidak mempunyai pilihan untuk mempertahankan integriti saya.

“Saya meletakan jawatan sebagai timbalan setiausaha Agung Gerakan, ahli jawatankuasa pusat dan ahli jawatankuasa Gerakan Pulau Pinang,” kata Thor seperti dipetik daripada FMT.

Thor mendakwa peletakan jawatan itu dibuat selepas Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Ir. Oh Tong Keong “secara peribadi menyerang” beliau dalam akhbar-akhbar Cina.

Thor menjelaskan bahawa Oh memberitahu Jawatankuasa Kerja Pusat Gerakan pada 20 Julai bahawa beliau mahu bertanding kerusi Dun Sungai Pinang. Kerusi itu sebelum ini ditandingi oleh Thor.

“Memandangkan hakikat bahawa dia (Oh) adalah pengerusi negeri bertindak dan demi kepentingan parti, saya tidak kisah berada  di luar pilihan raya.

“Saya juga berikrar untuk membantu calon Gerakan  untuk Sungai Pinang. Saya dicalonkan bagi kerusi itu dua kali dan gagal kedua-duanya, saya tidak mempunyai sebarang kepentingan lagi.

“Di sebalik semua ini, dia memilih untuk menyerang saya. Saya kecewa dan terluka,” kata Thor.

Dalam satu artikel dalam akhbar Press China pada Rabu, Oh memberi tiga sebab mengapa Thor tidak dipilih sebagai calon untuk Sungai Pinang.

Oh berkata Thor tidak menghadiri mesyuarat bahagian; jarang bertemu dengan pengundi sejak pilihan raya lalu dan “tidak peduli” untuk mengendalikan perkara-perkara peringkat bahagian.

Thor, 46, merupakan calon Parlimen Jelutong pada tahun 2008 dan calon Dun Sungai Pinang pada tahun 2013. Sungai Pinang adalah di bawah kawasan parlimen Jelutong. Kedua-dua kerusi yang kini dipegang oleh DAP.

Manakala Oh dipetik berkata beliau akan mengadakan sidang akhbar hari ini untuk memberikan “penjelasan penuh.”

Gerakan, sebuah parti komponen Barisan Nasional, telah memerintah Pulau Pinang sejak tahun 1970-an, di bawah ketua menteri Dr Lim Chong Eu dan Dr Koh Tsu Koon.

Walau bagaimanapun, Gerakan tewas kepada DAP dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan DAP kekal memerintah kerajaan negeri hingga kini selepas menang dalam dalam pilihan raya umum pada 2013.

TAGS