Malaysia Dateline

Tun Dr Mahathir Mohamad

Isu Bersatu, Mahathir: Usah sekat alternatif atau pilih jalan mati

Soal pembabitan dan penyertaan Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan selepas runtuhnya kerajaan hujung Februari lalu sentiasa menimbulkan polemik berpanjangan.

Malah usaha untuk menarik semula Bersatu ke dalam gabungan tiga parti itu — PKR, DAP dan AMANAH — turut mendapat kritikan serta halangan. Bersatu keluar PH tanpa dijangka dalam mesyuarat parti yang dipengerusikan Mahathir itu pada 23 Feb, yang mengakibatkan beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri keesokannya.

Faktor Mahathir sentiasa menjadi kontroversi, bukan hanya bermula sekitar perdebatan mengenai proses peralihan jawatan perdana menteri, tetapi sejak awal penubuhan PH lagi. Permusuhan lamanya dengan Anwar Ibrahim sukar dirawat sepenuhnya meskipun persefahaman telah dimetrai. Ia diburukkan lagi dengan gelagat penyokong tegar masing-masing. Tumbangnya kerajaan PH baru-baru ini turut disumbangkan oleh faktor tersebut, selain konflik dalaman yang serius dalam kepemimpinan tertinggi PKR dan masalah tersendiri Bersatu.

Apabila Mahathir gagal dilantik semula sebagai perdana menteri awal Mac lalu, tidak sedikit yang cuba mendakwanya sebagai arkitek utama bagi menggagalkan proses penyerahan kuasa kepada Anwar, seperti dijanji sebelum PRU14. Saya sukar menerima tuduhan itu walaupun mengakui hubungan Mahathir-Anwar tidak mudah dijernihkan kembali. Namun, saya percaya upaya PH untuk memerintah sekali lagi jangan diganggu oleh persengketaan dua negarawan ini.

Saya mengakui ramai kenalan rapat saya masih curiga — malah semakin menebal — terhadap Mahathir. Selain meyakini Mahathir tetap tidak mahu melihat Anwar menerajui kerajaan, mereka turut percaya bekas perdana menteri itu tidak pernah menjiwai roh reformasi. Justeru, bukan sahaja sia-sia menaruh harapan buat Mahathir, malah sebenarnya “memperbodohkan” diri sendiri jika masih percaya kepadanya.

Saya tidak menyalahkan rakan-rakan saya itu. Mereka mungkin mempunyai maklumat dalaman yang saya tidak ada. Sikap dan pendirian politik Mahathir sendiri — termasuk selepas kerajaan PH runtuh — khususnya pandangan beliau terhadap personaliti Anwar “banyak yang negatif dan melukakan”. Justeru hujah mereka, adalah lebih selamat dan strategik PH memperkukuh kedudukan dan pengaruh tanpa bersandar kepada Mahathir lagi.

Rasanya semua pihak boleh bersetuju bahawa PH mesti mempersiapkan segala sudut kekuatan untuk menghadapi PRU15, dengan andaian Bersatu terus berada di luar gabungan itu. Namun begitu, sebagai parti politik, ia seharusnya terbuka dengan lain-lain pilihan. Apa jua senario yang bertukar, sewajarnya dengan tangkas dimanfaatkan. Apatah lagi masa depan dan halatuju Bersatu masih belum jelas, malah mungkin berpecah-dua di antara kumpulan Mahathir dan Muhyiddin Yassin. Keputusan pemilihan Bersatu mempunyai impak besar terhadap lanskap politik tanahair. Ditambah dengan bibit kecelaruan dan bunga-bunga krisis dalam Perikatan Nasional, di antara Umno dan Bersatu.

Sementalahan pula, kita sebenarnya bukan hanya berbincang tentang PRU15. Susulan penubuhan kerajaan pintu belakang melalui Langkah Sheraton yang khianat itu, keabsahan pentadbiran Muhyiddin-Azmin ini belum teruji lagi. Apakah ia benar-benar mempunyai sokongan ahli Parlimen yang mencukupi? Kemungkinan kerajaan yang didirikan di atas pakatan rapuh dan saling syak-wasangka ini, tumbang masih terbuka luas. PH pastinya tidak mengambil mudah sebarang kemungkinan yang berlaku. Dinamika politik di Johor juga mencetuskan lebih banyak pilihan.

Justeru, sikap menutup pintu buat PH memperkukuh atau memperkembang “grand coalition” dilihat tidak bijaksana. Politik tidak mengenal jalan mati. Lebih-lebih lagi dalam situasi politik yang cepat berubah. Benar, kehadiran Bersatu dalam PH dahulu mungkin membawa masalah tertentu. Begitu juga dengan kehadiran parti-parti lain, DAP, PKR dan AMANAH. Masing-masing mengendong masalah tersendiri terhadap parti-parti komponen, lebih-lebih mereka baru sahaja belajar untuk berkongsi kuasa. Malah hubungan dengan Bersatu merupakan pengalaman paling singkat. Ketiga-tiga parti mungkin sudah mengenali sejak 1999 lagi, melalui Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat; mengambil kira pimpinan utama AMANAH adalah tonggak penggerak Pas waktu itu.

Justeru, saya menyokong saranan Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, yang membuka pintu PH kepada Bersatu, terutama dalam konteks percaturan politik semasa di Johor. Jika negeri paling selatan itu dilihat membuka jalan kepada tumbangnya regim BN dalam PRU14 lalu, mungkin ia juga boleh merintis jalan agar mandat rakyat kembali dipulihkan. Bersatu yang terpaksa menyerahkan kerusi MB Johor sedang berdepan kerakusan kuasa Umno dan proses agihan sumber yang tidak seimbang. Jika tiada kompromi disepakati, kemungkinan berlaku perpecahan besar dalam pakatan Umno-Bersatu di negeri itu. Bersatu mungkin dilanyak dan dilenyek di negeri presidennya sendiri!

Serentak masa sama, pengukuhan PH dalam bentuk gabungan tiga parti sedia ini, harus terus berjalan. Sesungguhnya kita mesti mengakui, PH masih belum “cukup bilangan” untuk kembali berkuasa. Prinsip mudahnya, harus sentiasa menambah rakan dan sekutu, serta meminimumkan seteru. Wajar memanfaatkan semua potensi san bukan meremehnya, jauh sekali memusuhinya. PH juga mempunyai “kelompongan” agak ketara di Sabah dan Sarawak. Sekutunya di Sabah juga bukan lagi “deposit tetap”.

Secara peribadi, sebagai penyokong AMANAH, saya mungkin lebih selesa Bersatu berada di luar PH. Dalam PRU14, AMANAH diperuntukkan kerusi paljng sedikit bukan sahaja di peringkat Parlimen, juga Dun terrentu. Sebahagiannya kerana terpaksa mengalah kepada tuntutan Bersatu. Jika Bersatu bukan lagi komponen PH, mungkin AMANAH sebagai satu-satunya parti berasaskan Melayu-Muslim dalam gabungan, diberi lebih kepercayaan dalam PRU15.

Namun, saya pastinya lebih memikirkan kepentingan negara, pemulihan tanahair dan proses pembaharuan yang terhenti, dengan berusaha mengembalikan PH ke tampuk kuasa. Mahathir sendiri tentu mempunyai sisi negatif tertentu dan kadang-kadang saya turut rimas dengan tingkah-lakunya. Bagaimanapun, pertimbangan menyeluruh berdasarkan neraca baik-buruk secara holistik, selalunya menuntut pengorbanan perasaan. Khususnya dalam konteks perebutan kuasa sebelum PRU15, saya rasa faktor Mahathir harus terus dimanfaatkan PH.