Isu boikot jejas perniagaan, McDonald’s hantar surat saman kepada BDS Malaysia

Oleh WAN SITI AMINAH

Boycott, Divestment and Sactions (BDS Malaysia) mendakwa telah menerima notis saman daripada syarikat rangkaian makanan segera, McDonald’s Malaysia.

BDS Malaysia merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan gerakan boikot terhadap perkara atau syarikat berkaitan dengan rejim Zionis, Israel.

McDonald’s Malaysia tentunya menjadi antara sasaran BDS Malaysia untuk diboikot selain dari Pizza Hut, Domino’s Pizza, Burger King, Puma, Caterpillar dan sebagainya.

Gerakan boikot ini dikatakan berjaya menjejaskan perniagaan sehingga McDonald’s Malaysia menghantar tuntutan saman atas dakwaan fitnah kepada NGO berkenaan.

BDS Malaysia bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan hanya menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung tuntutan McDonald’s itu.

“BDS Malaysia merupakan NGO berdaftar di negara ini yang menyeru orang awam, pertubuhan dan kerajaan Malaysia memboikot Israel dan organisasi-organisasi yang terbabit dengan kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin.

“Mereka dakwa perniagaan mereka terjejas sejak kebelakangan ini dan menyalahkan kami. Kami menafikan secara mutlak. Oleh itu keputusan kami ialah biar mahkamah putuskan perkara ini,” katanya menerusi satu hantaran di laman X.

NGO itu turut mendapatkan khidmat sebuah firma guaman dan akan mengeluarkan satu kenyataan yang lebih terperinci selepas menerima nasihat dari pihak peguam.

Mengundang perbincangan hangat, tinjauan mendapati rata-rata pengguna media sosial menyelar keputusan syarikat itu mengambil tindakan terhadap BDS Malaysia.

Ramai juga pengguna berkongsi pendapat bahawa McDonald’s Malaysia seharusnya menyaman cawangan utamanya yang tanpa segan silu menyumbang kepada Israel.

“Secara jujurnya, kami memboikot kerana pengeboman di Palestin dan McDonald’s terus menaja makanan tentera Angkatan Pertahanan Israel (IDF). BDS Malaysia tiada kaitan dalam isu ini,” kata seorang pengguna.

“Mereka sepatutnya menyaman cawangan utama yang mengambil bahagian dalam pembunuhan beramai-ramai dan secara tidak langsung menjejaskan McDonald’s seluruh dunia.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: ‘Buang masa, duit dan tenaga’, pelancong geram banyak jalan tutup di Melaka, ‘last-last’ terperap dalam hotel sahaja