Malaysia Dateline

Isu boikot: Pemimpin bukan Islam jangan riuh-rendah, kata Ibrahim Ali

 

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali menasihatkan pemimpin bukan Islam supaya tidak perlu riuh-rendah berhubung isu memboikot produk keluaran bukan Muslim.

Ini kerana katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam melancar Kempen Beli Produk Muslim disebabkan faktor hukum halal dan haram di sisi agama Islam itu sendiri.

Di samping itu, beliau berkata kempen itu juga berfungsi membantu umat Islam dan bumiputera dalam menjalankan perniagaan mereka.

“Kalau umat Islam tidak bersepakat membantu usahawan Melayu, siapa lagi yang boleh diharapkan. Adakah golongan bukan Islam sedia membantu Melayu Islam? Dengar perkataan Melayu Islam bumiputera pun mereka dah jijik.

“Sebab itu mereka mahu menghapuskan perkataan Bumiputera kononnya atas dasar Bangsa Malaysia dan Perpaduan, tetapi tidak mahu hapus atau tutup sekolah vernakular dan mendokong sekolah satu aliran, ianya cukup hipokrit.

“Jadi, sesetengah pihak wajar menghormati sensitiviti umat Islam yang patuh pada perintah Allah dan wajib membeli produk keluaran Melayu Islam, demi memastikan barangan tersebut adalah halal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, umat Islam dan kaum bumiputra mestilah memperkasa dan membantu golongan usahawan Melayu Islam dan bumiputra dengan membeli produk Muslim atau bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Umat Islam banyak pantang larang tidak seperti orang bukan Islam. Makanan pun perlu dipastikan ianya halal dan sebab itulah ada kempen beli Produk Muslim.

“Apatah lagi ada syarikat-syarikat bukan Islam menjual produk mereka yang tidak halal, tetapi membuat iklan dalam Bahasa Melayu. Ada juga yang menggunakan tulisan Jawi terutama pada produk makanan.

“Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi oleh umat Islam di negara ini, seperti berhadapan dengan pihak yang tidak pernah merasa puas atas apa mereka perolehi dan juga kebebasan yang mereka dapat di bumi milik asal kaum bumiputra, iaitu yang mereka pijak dan berteduh sekarang,” ujarnya lagi.