Malaysia Dateline

Isu buku teks Sejarah: Maszlee tuntut Asyraf bayar sejumlah wang

Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menuntut Dr. Asyraf Wajdi Dusuki membayar sejumlah wang yang terlebih dahulu dipersetujuinya sebagai pampasan kerana fitnah berkaitan isu buku teks Sejarah tingkatan empat.

Itu adalah salah satu daripada empat tuntutan terhadap Ketua Pemuda Umno berkenaan yang terkandung dalam Surat Tuntutan (LOD) yang telah dihantar peguam Maszlee.

Beliau menyifatkan kenyataan Asyraf menerusi Facebook pada 24 Februari lalu yang mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan mengagung-agungkan komunis dalam buku teks itu sebagai fitnah jahat.

Sehubungan itu, Maszlee menuntut Asyraf agar memadam hantaran tersebut serta-merta serta memastikan mana-mana profil atau halaman Facebook juga media sosial lain yang menyiarkan hantaran tersebut menarik semula dan memadamnya serta-merta.

Asyraf juga dituntut menerbitkan suatu kenyataan maaf bertulis yang dipersetujui bersama di dalam laman Facebook pemimpin itu dan akhbar tempatan.

“Sekiranya tuntutan-tuntutan ini tidak dilayan dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan undang-undang selanjutkan akan terus diambil oleh peguam saya.

“Ini semua ialah proses tindakan undang-undang yang telah saya mulakan untuk memastikan budaya fitnah jahat berbaur perkauman begini tidak berulang lagi,” ujar Maszlee dalam kenyataanya hari ini.

Beliau berkata, tindakannya tersebut sebagai pengajaran bersama kerana yakin rakyat amat muak dan benci dengan budaya fitnah jahat berbaur perkauman yang sengaja ditimbulkan dan boleh menggugat hubungan sesama kaum di Malaysia.

“Hanya mereka yang pengecut sahaja yang sering menggunakan senjata fitnah dan propaganda murahan untuk meraih sokongan politik,” bidasnya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam berkenaan menyeru sudah tiba masanya untuk berpolitik secara matang dan berasaskan fakta juga keberanian untuk tampil bersemuka dan berbincang agar rakyat di bawah boleh menilai dengan saksama.

“Bak kata pepatah, usahlah baling batu sembunyi tangan, beriak tanda tak dalam, bergoncang tanda tak penuh,” tambahnya yang menarik diri daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada November lalu dan menjadi Ahli Parlimen Bebas itu lagi.