Isu buli di set penggambaran, ini komen tegas Nabila Huda buat pelakon baru

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang terlalu banyak pelakon baru muncul dalam industri seni, jika dilihat pada bakat yang tidak seberapa, semuanya terlihat bergantung pada rupa semata.

Terbaru ada pelakon baru mendedahkan berkongsi mengenai isu buli di set penggambaran dan ini menyita perhatian pelakon senior.

Pelakon Nabila Huda menganggap kenyataan itu menunjukkan bahawa pelakon tersebut masih belum bersedia untuk berada dalam industri seni lapor Kosmo.

“Kenyataan yang dibuat itu sampah. Perkara peribadi tidak patut dikeluarkan. Isu buli tidak berlaku pun di set penggambaran. Selalunya kami semua gembira sahaja.

“Mungkin orang itu yang saya rasa tidak bersedia untuk jadi pelakon. Lebih baik anda cari kerjaya lain, pergi jadi influencer.

“Mungkin anda tidak sesuai bekerja dengan abang dan kakak di set penggambaran kerana pemikiran anda berbeza dengan kami.

“Mentaliti anda bukan mentaliti orang seni,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Pada masa sama, Nabila menasihati pelakon baru untuk berusaha bagi menempa nama dalam industri dan bukan sekadar mengeluh.

“Setiap pelakon bersungguh-sungguh untuk bina nama, semua sayang dengan kerjaya mereka. Jangan disebabkan kenyataan anda itu buat orang pandang buruk dengan kami (pelakon).

“Berhenti buka pekung sendiri kepada orang luar, jangan biar orang pandang buruk pada kita,” jelasnya.

Berkongsi pengalaman, Nabila menganggap bahawa isu dimarah pengarah adalah sebahagian proses pembelajaran.

“Saya rasa budak zaman sekarang terlalu manja, tidak kuat menghadapi cabaran dan kesusahan. Saya pernah lalui situasi dimaki oleh pengarah. Saya sampai kena carut.

“Kalau budak sekarang kena, silap-silap pengarah itu sudah masuk penjara. Apa yang berlaku di set penggambaran adalah pengalaman untuk setiap pelakon.

“Tanpa pengalaman itu mereka tidak berada di satu tempat yang lebih baik. Anggap pengarah atau kru di lokasi sebagai ibu bapa yang sedang mengajar kita.

“Mereka marah untuk naikkan semangat kita sebagai seorang manusia,” tambahnya.

Baca juga: Syamsul Debat beri peringatan, henti kongsi 3 perkara ini jika mahu elak penyakit ain