Isu dana asing: DAP Perak gesa SPRM segerakan siasatan

Isu dana asing: DAP Perak gesa SPRM segerakan siasatan

DAP Perak mengalu-alukan siasatan terperinci dilakukan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap parti itu, yang didakwa menerima dana asing bagi menggerakkan aktiviti politik.

Naib Pengerusinya, Dr Abdul Aziz Bari berkata, ini kerana beliau yakin DAP merupakan sebuah parti yang telus, selain bergerak melalui sokongan masyarakat dan anggota parti.

“Saya mengalu-alukan laporan itu dan menyeru pihak berkuasa untuk mempercepatkan siasatan dan membuat kesimpulan kepada apa dapatan yang mereka dapat.

“Saya ulangi DAP tiada benda yang nak disembunyikan. Kita telus khususnya daripada sudut akaun (parti) di seluruh Negara. Kita mendapat sokongan daripada khalayak ramai, tak bergantung kepada sebarang dana asing,” katanya, ketika ditemui pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Pada 13 Feb, Pemuda PAS Perak, Terengganu dan Johor menyeru agar pihak berkuasa membuka semula kes dan melakukan siasatan terhadap DAP kerana didakwa menerima dana asing untuk tujuan politik.

Mereka turut berpendapat dakwaan itu sangat serius, selain boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara sekiranya tidak diambil tindakan.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, laporan polis dibuat PAS itu juga sebenarnya cubaan untuk mengalihkan isu negatif yang melingkari parti itu, khususnya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penerimaan dana daripada UMNO untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya fikir ini percubaan untuk mengalihkan daripada isu 1MDB yang diterima oleh PAS. Kelmarin atau semalam ada laporan media tentang UMNO menyalurkan wang kepada PAS untuk kempen pilihan raya yang berjumlah RM1.5 juta kalau tak silap saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar berkata pihaknya sedang menyiasat sekiranya berlaku salah guna kuasa berhubung isu tanah seluas 2,428 hektar yang diberikan kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar.

Katanya, laporan audit diterima dua bulan lalu menunjukkan ada berlaku penyelewengan terhadap tanah tersebut, yang pada ketika ini dijadikan sebagai kawasan pertanian, perlombongan dan pembalakan.

“Tanah berkenaan tidak diuruskan dengan efisien oleh pentadbiran terdahulu, sama ada isu tanah berkenaan tidak mendatangkan hasil atau hasilnya digunakan untuk kegiatan tertentu akan disiasat menerusi pentadbiran terbaharu, yang Naib Canselornya yang baharu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.