Isu DAP dan ROS sudah selesai, Gobind jawab setiausaha akhbar PM

Isu DAP dan ROS sudah selesai, Gobind jawab setiausaha akhbar PM

Kenyataan Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad mengenai kemungkinan DAP tidak dapat menggunakan logo roket dalam pilihan raya akan datang disifatkan sebagai dangkal.

Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo (gambar) dalam kenyataan balasnya menasihati Sarifudin agar mendapatkan nasihat peguam-peguam yang mewakili Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum membuka mulut dan bercakap bagi pihak agensi terbabit.

“Kita tidak takut dengan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri. Siapa dia untuk bercakap bagi pihak ROS?

“Dalam saman DAP terhadap ROS pada tahun 2014, peguam-peguam ROS telah mengakui bahawa surat yang ditujukan kepada DAP hanyalah nasihat dan tidak mengikat secara undang-undang.

“ROS mengiktiraf pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP pada 29 September 2013,” kata Gobind seperti dipetik Roketkini.

Kelmarin, Tengku Sarifuddin berkata, ROS tidak menyedari kesahan jawatankuasa eksekutif pusat DAP.

Sebelum itu, beliau meminta Anggota Parlimen DAP, Liew Chin Tong memberi tumpuan kepada “masalah serius” berhubung penggunaan logo parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Ia sebagai respons kepada analisis Chin Tong yang mengatakan bahawa kedudukan Datuk Seri Najib Razak kini berada dalam keadaan yang lemah.

Beliau turut menyifatkan analisis ahli parlimen Kluang itu mengenai Najib sebagai “berita palsu”.

Menjelang PRU ke-13, ROS dilihat cuba menghalang DAP daripada bertanding menggunakan lambang roket apabila ia tidak semena-mena muncul dengan mempersoalkan keabsahan pelantikan CEC.

“Saya mesti menasihati Setiausaha Akhbar PM supaya berhati-hati,” tambah Gobind yang juga ahli Parlimen Puchong.

“Beliau tidak boleh membuat kenyataan bagi pihak ROS yang bertentangan dengan keputusan yang telah dicapai (di mahkamah). Beliau tidak berhak berbuat demikian,” tegas Gobind.

TAGS