Malaysia Dateline

Isu di Melaka: Jangan ajar anak muda politik buruk, tegur NGO

Teras Pengupayaan Melayu (Teras), kesal dengan politik jatuh menjatuhkan yang dilihat menjadi budaya politik Malaysia tanpa penghujung.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bermula dengan Langkah Sheraton sehinggalah kepada pertukaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada Barisan Nasional (BN) serta pembubaran bersiri kerajaan negeri Perak, Johor dan Melaka memperlihatkan betapa ketaranya politik kepartian.

“Sebenarnya, politik fitnah telah bermula sejak 1998 dan bereterusan kepada politik cantas mencantas, jatuh menjatuhkan, jual beli rakyat dan sehinggalah ugut mengugut menjadi lumrah hingga kini.

“Namun begitu, politik sedemikian kini menjadi medan bagi anak muda yang merupakan generasi pewaris belajar berpolitik dengan cara jijik yang dipertontonkan apabila mereka menyaksikan satu lagi episod yang memualkan di Melaka.

“Dalam kegawatan rakyat mendepani situasi yang kritikal serta belum sempat menarik nafas lega bagi mengembalikan semula kehidupan yang diragut pandemik, tiba-tiba terjahan politik jijik yang baru pula ditonjolkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Kata Mohd Azmi lagi, pergolakan dalaman parti di Melaka yang sarat dengan tipu helah, konspirasi dan politik ghairah menjatuhkan kerajaan sendiri telah memperlihatkan gelagat politik yang sedang diamati oleh generasi muda untuk diteladani.

Tambahnya, situasi terkini politik di Melaka membuktikan ahli politik dengan begitu mudah mengenepikan soal kepentingan rakyat kecuali mengutamakan politik berpuak-puak untuk diagihkan jawatan dan meraih kekayaan.

Yang jelas kata beliau, generasi muda akan mencontohi tabiat mengejar kuasa, politik penting diri serta mencontohi setiap gelagat ahli politik yang mengutamakan survival politik dari survival rakyat.